WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memilih doktor selebriti, Dr Mehmet Oz, untuk mengetuai Pusat Perkhidmatan Medicare dan Medicaid (CMS).
Ia merupakan agensi yang mengurus perbelanjaan tahunan AS$1.7 trilion ($2.2 trilion) untuk program perlindungan insurans bagi lebih sepertiga penduduk Amerika.
“Amerika sedang menghadapi krisis penjagaan kesihatan, dan mungkin tidak ada doktor yang lebih layak dan mampu daripada Dr Oz untuk Menjadikan Amerika Sihat Semula.
“Dr Oz akan bekerjasama rapat dengan Robert F. Kennedy Jr untuk menangani penyakit perindustrian yang kompleks dan semua penyakit kronik yang menyusul kemudiannya,” kata Encik Trump dalam satu kenyataan pada 19 November.
Pilihan mengejut, seperti pemilihan Encik Kennedy menunjukkan Encik Trump beralih kepada orang luar dan muka baru yang tidak konvensional dalam usaha merombak secara radikal agensi kesihatan negara.
Dr Oz, yang menjadi terkenal apabila digelar sebagai “doktor Amerika” dalam rancangan televisyen, Oprah Winfrey, adalah seorang pakar bedah tanpa pengalaman dalam pentadbiran pemerintah.
Senator Bill Cassidy, seorang doktor yang dijangka mempengerusikan Jawatankuasa Kesihatan, Pendidikan, Buruh dan Pencen Senat yang akan menyemak pencalonan dalam Kongres akan datang, menyatakan sokongan terhadap Dr Oz dalam satu catatan di wadah media sosial X.
“Sudah lebih sedekad sejak seorang doktor menerajui CMS, dan saya berharap untuk membincangkan keutamaannya,” tulis Encik Cassidy.
Dr Oz bertanding untuk Senat di Pennsylvania pada 2022, dan dengan sokongan Encik Trump, mengalahkan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Bridgewater Associates, Encik Dave McCormick, dalam pemilihan parti Republikan yang sengit.
Beliau kemudian tewas kepada calon Demokrat, Encik John Fetterman, dalam pilihan raya umum.
Semasa pandemik Covid-19, Dr Oz menjadi penasihat kesihatan tidak rasmi kepada Encik Trump, yang ketika itu sedang menjalani penggal pertama di Rumah Putih.
Dr Oz mempromosikan penggunaan ubat-ubatan yang tidak terbukti untuk merawat virus, termasuk ubat antimalaria hydroxychloroquine.
Namun, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika telah membatalkan penggunaan ubat kecemasan itu, dengan alasan terdapat “risiko yang diketahui dan berpotensi”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg