WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mendesak Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah, dengan alasan ia perlu bagi mengimbangi kesan tarif perdagangan yang sedang diperkenalkan semula oleh pentadbirannya.
Desakan itu disuarakan melalui platform media sosialnya, Truth Social, pada malam 19 Mac, hanya beberapa jam selepas Rizab Persekutuan (Fed) mengumumkan kadar faedah akan dikekalkan, walaupun unjuran pertumbuhan ekonomi negara diturunkan dan jangkaan inflasi dinaikkan.
“Lakukan perkara yang betul,” tulis Encik Trump ringkas tetapi tegas dalam hantaran tersebut.
Encik Trump merancang untuk melaksanakan tarif timbal balik bermula 2 April ini, satu langkah yang dikatakan beliau sebagai usaha untuk menyusun semula peraturan perdagangan global. Beliau menyifatkan hari tersebut sebagai “Hari Pembebasan” bagi ekonomi Amerika Syarikat.
“Rizab Persekutuan sepatutnya lebih bijak dengan memotong kadar faedah memandangkan tarif Amerika kini mula diserap perlahan-lahan ke dalam ekonomi,” katanya.
Walaupun Rizab Persekutuan meramalkan dua kali pemotongan kadar faedah pada tahun 2025 ini, Pengerusinya, Encik Jerome Powell, memberi amaran bahawa ketidaktentuan dalam ekonomi kini “amat tinggi” dan inflasi masih menunjukkan tanda-tanda kenaikan.
Ahli ekonomi pula memberi amaran bahawa tindakan Trump melaksanakan tarif yang agresif boleh mengundang risiko kemelesetan bukan sahaja di Amerika Syarikat, tetapi juga di negara lain yang terlibat dalam perdagangan global. Beberapa negara telah bertindak balas dengan mengenakan tindakan balas perdagangan terhadap produk Amerika.
Encik Trump sendiri mengakui bahawa dasar tarifnya mungkin akan menyebabkan ‘gangguan kecil’ terhadap ekonomi dalam jangka pendek, namun beliau tetap yakin bahawa Amerika sedang menuju ke arah apa yang disifatkannya sebagai “zaman keemasan”.
“Ekonomi mungkin akan mengalami sedikit gangguan, tetapi kita sedang menuju ke arah masa depan yang lebih makmur dan lebih adil buat rakyat Amerika,” katanya dalam kenyataan berasingan kepada media tempatan.
Penganalisis politik melihat tindakan Encik Trump ini sebagai usaha untuk menekan Rizab Persekutuan agar menyokong dasar fiskal dan perdagangannya, meskipun secara tradisinya, Fed sepatutnya kekal bebas daripada pengaruh politik.
Seorang penganalisis kewangan dari Washington, Lisa Harrington, berkata:
“Ini bukan kali pertama Trump campur tangan secara terbuka dalam dasar monetari negara. Namun, tekanan politik terhadap Fed boleh memberi kesan kepada kredibiliti dan keyakinan pasaran terhadap kestabilan ekonomi.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg