Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump menang hasil sokongan Hispanik, golongan pekerja

Kempennya yang menjurus pada lindungi pekerja dari saingan ekonomi global, tawar pelbagai pemotongan cukai dorong kemenangan
Nov 7, 2024 | 4:06 PM
Mantan Presiden Amerika yang juga calon Republikan, Encik Donald Trump sanggup turun padang termasuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin masyarakat keturunan Latin di pusat peranginan Miami pada 22 Oktober.
Mantan Presiden Amerika yang juga calon Republikan, Encik Donald Trump sanggup turun padang termasuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin masyarakat keturunan Latin di pusat peranginan Miami pada 22 Oktober. - Foto AFP

WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sekali lagi mencorak semula arah para pengundi negara itu pada 2024, mengumpul sokongan dalam kalangan pengundi Hispanik, golongan muda dan rakyat Amerika tanpa ijazah kolej.

Bahkan, beliau memenangi lebih banyak undi di hampir seluruh negara ketika beliau merampas semula jawatan Presiden itu.

Hasil kempen populis Republikan dengan janji untuk melindungi pekerja daripada persaingan ekonomi global dan menawarkan pelbagai cadangan pemotongan cukai menyaksikan peningkatan sokongan terhadap Encik Trump oleh pengundi kelas pekerja dan bukan kulit putih Amerika yang telah membantu meningkatkan undinya hampir di semua negeri.

Peningkatan paling ketara ialah perubahan 14 peratusan mata dalam kalangan pengundi Hispanik yang menyokong Encik Trump, menurut hasil tinjauan oleh Edison Research.

Sekitar 46 peratus pengundi Hispanik telah memilih Encik Trump – meningkat daripada 32 peratus pada pilihan raya 2020 – apabila beliau tewas di tangan calon Demokrat, Encik Joe Biden.

Hispanik sebahagian besarnya memihak kepada Demokrat selama beberapa dekad, tetapi sokongan kepada Encik Trump tahun ini adalah yang tertinggi untuk calon presiden Republikan sejak 1970-an.

Malah, ia adalah lebih tinggi daripada 44 peratus yang dimenangi oleh calon Republikan, Encik George W. Bush, pada 2004.

Di daerah terdapat lebih 20 peratus rakyat Amerika yang layak mengundi adalah Hispanik, margin Encik Trump berbanding Naib Presiden dari Demokrat, Cik Kamala Harris, meningkat sebanyak 13 mata berbanding prestasinya ketika menentang Encik Biden pada 2020.

“Pemikiran anak muda Hispanik tidak sama seperti datuk dan nenek mereka yang mengundi Demokrat selama 50 tahun,” kata Encik Giancarlo Sopo, anggota strategi media Republikan.

Kali ini, Encik Trump memenangi 55 peratus undi lelaki Hispanik, 19 mata lebih tinggi daripada 36 peratus yang dimenanginya empat tahun sebelumnya. Sokongan wanita Hispanik membentuk 38 peratus – naik 8 mata berbanding 2020.

Encik Trump telah menjadikan penentangan terhadap imigresen sebagai asas perjuangannya, berjanji untuk mengusir secara besar-besaran golongan yang tinggal secara haram di Amerika.

Ramai pengundi Hispanik menyokong pendirian tegar Encik Trump itu, menurut hasil tinjauan Edison Research.

Usia kaum Hispanik juga lebih muda daripada purata di Amerika, yang bermakna mereka kurang masa untuk membina kekayaan dan juga lebih terdedah kepada masalah ekonomi, termasuk inflasi yang tinggi dan kadar faedah gadai janji yang melambung tinggi. Encik Trump memenangi 43 peratus pengundi berumur 18 hingga 29 tahun – tujuh mata lebih tinggi daripada 2020.

Kira-kira dua pertiga pengundi menganggap ekonomi Amerika dalam kedudukan lemah dan sekitar 46 peratus berkata keadaan kewangan keluarga mereka lebih meruncing berbanding empat tahun lalu.

“Republikan secara konsisten mengalahkan Demokrat dalam isu ekonomi. Ini adalah referendum mengenai ekonomi dan ia secara konsisten menjadi isu nombor satu, dua dan tiga untuk pengundi Hispanik,” kata Cik Clarissa Martinez De Castro, naib presiden Inisiatif Undi Latino Amerika.

Kemenangan besar Republikan itu juga sebahagiannya disebabkan sokongan pengundi tanpa ijazah yang membentuk lebih separuh daripada pengundi.

Kira-kira 56 peratus pengundi tanpa ijazah memilih Encik Trump, meningkat 6 mata daripada undi Republikan pada 2020. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg