WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dijangka mengumumkan satu perjanjian kerjasama nuklear awam yang bersejarah dengan Arab Saudi pada 22 Julai, sekali gus membuka laluan kepada Riyadh untuk menghasilkan bahan api bagi reaktor nuklearnya sendiri.

Menurut pegawai Amerika Syarikat, perjanjian itu bertujuan mengukuhkan semula hubungan strategik Washington dengan Arab Saudi ketika ketegangan akibat perang Amerika-Iran terus memberi tekanan kepada hubungan kedua-dua negara.

Di bawah perjanjian itu, Arab Saudi berpotensi dibenarkan memperkaya uranium dan memproses semula plutonium di negara itu sendiri selepas kajian bersama mengenai daya maju ekonomi projek berkenaan selesai dijalankan.

Langkah itu menandakan perubahan besar dalam dasar nuklear Amerika kerana Washington sebelum ini menolak hak tersebut bagi mengelakkan risiko penyebaran senjata nuklear.

Pentadbiran Encik Trump dijangka menandatangani dan mengumumkan perjanjian itu secara rasmi sebelum menyerahkan butirannya kepada Kongres untuk semakan.

Pegawai Amerika berkata kerjasama berkenaan dijangka membawa pulangan berbilion dolar kepada industri tenaga nuklear negara itu, dengan syarikat Westinghouse dijangka menjadi penerima manfaat utama menerusi pembinaan reaktor nuklear di Arab Saudi.

Bagaimanapun, perjanjian itu dijangka mencetuskan perdebatan hangat di Kongres apabila beberapa ahli politik daripada Parti Republikan dan Demokrat, selain pegawai Israel, menyuarakan kebimbangan bahawa program nuklear awam Arab Saudi akhirnya boleh membuka laluan kepada pembangunan senjata nuklear.

Kebimbangan itu semakin memuncak selepas Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebelum ini menegaskan bahawa Arab Saudi akan membangunkan senjata nuklear sekiranya Iran berbuat demikian.

Dalam satu temu bual terdahulu, beliau berkata Riyadh akan mengambil langkah tersebut “tanpa sebarang keraguan” jika Teheran memiliki senjata nuklear.

Perjanjian itu dikenali sebagai ‘Perjanjian 123’ iaitu rangka kerja undang-undang Amerika bagi membolehkan kerjasama nuklear awam dengan negara lain.

Setakat ini, Amerika mempunyai 26 perjanjian seumpamanya dengan 51 kerajaan serta Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Namun, syarat yang dipersetujui bersama Arab Saudi jauh lebih longgar berbanding perjanjian serupa yang dimeterai dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2009.

Ketika itu, UAE bersetuju menerima pemeriksaan ketat IAEA dan melepaskan hak untuk memperkaya uranium sendiri, sekali gus menutup kemungkinan menggunakan infrastruktur nuklear bagi menghasilkan senjata.

Model UAE itu kemudian dikenali sebagai ‘standard emas’ dalam usaha menghalang penyebaran senjata nuklear.

Sebaliknya, pentadbiran Encik Trump dilaporkan bersetuju mengehadkan akses pemeriksa antarabangsa ke beberapa lokasi tertentu di Arab Saudi dan membenarkan kerajaan itu memperkaya uranium di wilayahnya sendiri selepas kajian bersama selesai.

Pentadbiran Encik Trump dijangka berhujah bahawa beberapa mekanisme kawalan lain akan diwujudkan, termasuk kerjasama rapat antara kedua-dua negara bagi membolehkan Washington memantau perkembangan program nuklear Arab Saudi.

Laporan turut menyebut terdapat dua dokumen tambahan sulit yang menjadi sebahagian daripada perjanjian itu.

Pentadbiran Encik Trump dijangka mempertahankan kerahsiaan dokumen tersebut atas alasan ia mengandungi maklumat komersial dan keselamatan negara yang sensitif.

Bagaimanapun, beberapa anggota Kongres memberi isyarat mereka mungkin enggan menyokong perjanjian itu selagi kandungan dokumen berkenaan tidak didedahkan sepenuhnya.

Rundingan mengenai kerjasama nuklear ini sebenarnya telah berlangsung selama beberapa tahun.

Semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden, kerjasama itu dirancang sebagai sebahagian daripada pakej lebih besar yang turut melibatkan pengiktirafan diplomatik Arab Saudi terhadap Israel.

Bagaimanapun, rancangan tersebut terbantut selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Selepas kembali memegang jawatan, Encik Trump memisahkan kerjasama nuklear itu daripada syarat pengiktirafan Israel bagi mempercepatkan rundingan dengan Riyadh.

Encik Trump dan Putera Mohammed dilaporkan mencapai persefahaman mengenai kerjasama nuklear awam ketika lawatan putera mahkota itu ke Rumah Putih pada November 2025.

Sejak itu, pegawai kedua-dua negara memperincikan kandungan perjanjian sehingga mencapai kata sepakat.

Pada Mei lalu, Arab Saudi dilaporkan enggan membenarkan tentera Amerika menggunakan ruang udaranya bagi mengiringi kapal dagang melalui Selat Hormuz ketika konflik dengan Iran memuncak.

Walaupun terus bergantung kepada sistem pertahanan udara Amerika bagi memintas peluru berpandu Iran, Riyadh semakin bimbang dasar Washington di Asia Barat meningkatkan ancaman keselamatan terhadap negara-negara Teluk.

Dalam masa sama, Arab Saudi terus berusaha mengekalkan hubungan diplomatik dengan Iran selepas kedua-dua negara memulihkan hubungan pada 2023 menerusi perjanjian yang diusahakan China.

Selain kerjasama nuklear, Encik Trump dan Putera Mohammed turut mencapai persefahaman mengenai kerjasama pertahanan yang merangkumi penjualan pesawat pejuang F-35 kepada Arab Saudi.

Namun, persefahaman itu tidak melibatkan perjanjian pertahanan rasmi yang memerlukan kelulusan Senat Amerika seperti yang lama diinginkan Riyadh.

Sekiranya diluluskan Kongres, perjanjian nuklear itu dijangka menjadi antara perubahan terbesar dalam dasar nuklear Amerika sejak lebih sedekad lalu, selain mengubah keseimbangan geopolitik di Asia Barat ketika persaingan dengan Iran terus memuncak. – Agensi berita.