Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Netanyahu dijangka bincang fasa seterusnya pelan Gaza

Dec 29, 2025 | 2:13 PM
Palestin, Israel, Amerika, damai
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (kanan), memerhati Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ketika beliau berlepas dari Israel menuju ke Sharm El-Sheikh, Mesir, untuk menghadiri sidang kemuncak pemimpin dunia bagi menamatkan perang di Gaza, susulan perjanjian pertukaran tahanan dan tebusan serta gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang diusul Amerika Syarikat, di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, Lod, Israel, pada 13 Oktober 2025. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijangka memberikan tekanan berhubung usaha menggerakkan semula fasa gencatan senjata seterusnya di Gaza apabila beliau bertemu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 29 Disember, dalam rundingan yang turut menyentuh kebimbangan keselamatan Israel berkaitan Hezbollah di Lebanon dan Iran.

Pertemuan yang dijadual berlangsung di estet Mar-a-Lago milik Encik Trump itu hadir pada saat genting, ketika gencatan senjata Gaza yang dimeterai pada Oktober lalu semakin rapuh walaupun masih bertahan secara umum.

Israel dan Hamas saling menuduh pelanggaran perjanjian, sementara kemajuan ke fasa kedua dilihat semakin sukar dicapai.

Encik Netanyahu sebelum ini mengesahkan beliau menerima jemputan Encik Trump untuk mengadakan perbincangan, ketika Washington berusaha membentuk struktur pentadbiran peralihan di Gaza serta menubuhkan pasukan keselamatan antarabangsa bagi wilayah Palestin itu.

Pegawai Amerika Syarikat menegaskan peralihan ke “fasa dua” gencatan senjata dijangka bermula Januari 2026.

Fasa itu merangkumi penubuhan apa yang digelar sebagai “lembaga keamanan”, jawatankuasa eksekutif untuk menyelia Gaza, serta jawatankuasa teknokrat Palestin bagi mengurus tadbir harian.

Ia turut melibatkan penempatan pasukan pengaman pelbagai negara.

Menurut rangka perjanjian yang diusul Amerika Syarikat, tentera Israel yang kini masih menguasai kira-kira separuh wilayah Gaza akan berundur secara berperingkat.

Ia seiring kemasukan pasukan antarabangsa bagi memantau pelucutan senjata Hamas dan peralihan ke fasa pembinaan semula pascaperang.

Namun, persoalan besar masih berlegar mengenai mandat dan mereka yang membentuk Pasukan Penstabilan Antarabangsa itu.

Setakat ini, tiada negara menyatakan komitmen menghantar tentera, dan tiada pihak sanggup melucutkan senjata Hamas secara paksa.

Pegawai Israel bimbang Encik Trump, dalam usaha menonjolkan kemajuan diplomatik, akan memberi tekanan kepada Encik Netanyahu untuk membuat konsesi lanjut.

“Kebimbangannya ialah Trump akan menarik balik sokongan dan bantuan secara tiba-tiba,” kata seorang individu yang arif mengenai pemikiran pemerintah Israel.

“Amerika terlalu berpandangan cetek jika beranggapan apa-apa boleh bergerak ke hadapan tanpa Hamas meletakkan senjata.

“Setakat ini, tiada pelan sebenar untuk menangani persenjataan Hamas,” tambah sumber itu.

Israel telah memberi isyarat jika Hamas enggan melucutkan senjata secara aman, tindakan ketenteraan akan disambung.

Walaupun pertempuran besar telah reda, keganasan tidak berhenti sepenuhnya.

Sejak gencatan senjata bermula, serangan Israel dilapor telah mengorbankan lebih 400 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, manakala serangan kumpulan bersenjata Palestin membunuh tiga anggota tentera Israel.

Rundingan Trump-Netanyahu juga dijangka menyentuh gencatan senjata di Lebanon yang dimeterai pada November 2024 dan bertujuan menamatkan pertempuran antara Israel dengan Hezbollah.

Perjanjian itu mensyaratkan pelucutan senjata kumpulan bersenjata disokong Iran tersebut, khususnya di selatan Lebanon.

Walaupun Beirut mendakwa hampir menyelesaikan misi itu, Hezbollah masih enggan meletakkan senjata.

Israel pula mengatakan kemajuan terlalu perlahan dan terus melancarkan serangan hampir setiap hari bagi menghalang kumpulan itu membina semula kekuatannya.

Isu Iran turut dijangka menjadi agenda utama.

Encik Netanyahu berkata Israel tidak mencetuskan konfrontasi dengan Teheran, tetapi akan membangkitkan laporan mengenai usaha Iran membina semula peluru berpandu balistiknya.

“Beliau akan memberitahu Trump kita tidak boleh membenarkan mereka membangunkan semula keupayaan itu,” kata sumber Israel tersebut.

Encik Trump, yang sebelum ini mengarahkan serangan Amerika ke atas tapak nuklear Iran pada Jun, sejak itu turut membuka ruang kepada kemungkinan perjanjian baru dengan Teheran.

Namun, perbezaan pendekatan antara Washington dengan Tel Aviv berhubung Gaza, Lebanon dan Iran dijangka menjadi ujian besar dalam rundingan kedua-dua pemimpin itu, ketika gencatan senjata serantau kekal rapuh dan masa depan pascaperang Gaza masih kabur. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg