Trump, Netanyahu gagal capai sepakat mengenai Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Netanyahu gagal capai sepakat mengenai Iran

Feb 12, 2026 | 10:42 AM

Trump, Netanyahu gagal capai sepakat mengenai Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tidak mencapai keputusan muktamad, isu Iran, Teheran
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menunding jari ke arah Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, ketika sidang media selepas pertemuan mereka di kelab Mar-a-Lago milik Encik Trump di Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat, pada 29 Disember 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, tidak mencapai sebarang keputusan muktamad berhubung hala tuju rundingan dengan Iran selepas pertemuan mereka di Rumah Putih pada 11 Februari, namun menegaskan bahawa diplomasi dengan Teheran akan diteruskan.

Dalam kenyataan di media sosial selepas pertemuan itu, Encik Trump menyatakan bahawa tiada persetujuan “muktamad” dicapai selain desakan beliau supaya rundingan diteruskan bagi melihat sama ada satu perjanjian boleh dimeterai.

“Tiada apa-apa yang muktamad dicapai kecuali saya menegaskan bahawa rundingan dengan Iran mesti diteruskan untuk melihat sama ada satu perjanjian boleh dimeterai,” tulis Encik Trump. “Jika ia boleh dicapai, saya maklumkan kepada Perdana Menteri Netanyahu bahawa itu adalah pilihan yang saya utamakan.”

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa jika diplomasi gagal, kemungkinan tindakan lain tidak boleh diketepikan.

“Jika tidak, kita akan lihat apa kesudahannya,” katanya, merujuk kepada serangan Amerika ke atas tapak nuklear Iran pada Jun 2025 apabila Teheran sebelum itu enggan bersetuju dengan perjanjian.

Pertemuan itu merupakan yang ketujuh antara kedua-dua pemimpin itu sejak Encik Trump kembali memegang jawatan pada 2025.

Namun lawatan Encik Netanyahu kali ini berlangsung dalam suasana lebih tertutup berbanding kebiasaan, tanpa kehadiran kumpulan media di Pejabat Bundar.

Encik Netanyahu sebelum ini dijangka mendesak Encik Trump supaya memperluas skop rundingan dengan Iran, bukan hanya tertumpu kepada program nuklear tetapi juga meliputi sekatan terhadap peluru berpandu balistik serta sokongan Iran kepada kumpulan bersenjata seperti Hamas dan Hezbollah.

Dalam kenyataan pejabatnya selepas pertemuan itu, Encik Netanyahu menegaskan, keselamatan Israel mesti menjadi keutamaan dalam sebarang rundingan.

“Perdana Menteri menekankan keperluan keselamatan Negara Israel dalam konteks rundingan ini, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan penyelarasan rapat serta hubungan yang erat,” menurut kenyataan itu.

Namun tiada petunjuk jelas bahawa Encik Trump menerima sepenuhnya tuntutan Israel untuk memperluas skop perjanjian.

Dalam wawancara bersama Fox Business pada 10 Februari, Encik Trump berkata perjanjian yang baik dengan Iran mesti memastikan “tiada senjata nuklear dan tiada peluru berpandu.” tanpa menghuraikan butiran lanjut.

Beliau turut memberitahu portal Axios bahawa beliau sedang mempertimbangkan penghantaran satu lagi kumpulan kapal pengangkut pesawat sebagai sebahagian daripada penambahan besar kehadiran ketenteraan Amerika berhampiran Iran.

Iran sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membincangkan had terhadap program nuklearnya sebagai balasan kepada pelonggaran sekatan, namun menolak sama sekali untuk mengaitkan isu itu dengan keupayaan peluru berpandu.

“Keupayaan peluru berpandu Republik Islam tidak boleh dirunding,” kata Encik Ali Shamkhani, penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, pada 11 Februari.

Rundingan terkini antara Washington dengan Teheran diadakan di Oman pada 6 Februari lalu, dengan kedua-dua pihak menyifatkannya sebagai positif dan menjangkakan pusingan seterusnya dalam masa terdekat.

Namun ketegangan tetap memuncak apabila Encik Trump sebelum ini mengancam serangan ke atas Iran sekiranya tiada perjanjian dicapai, manakala Teheran berikrar akan membalas.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan berhubung kemungkinan perang lebih luas di Asia Barat, terutama ketika Amerika meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau tersebut.

Selain isu Iran, perbincangan turut menyentuh perkembangan di Gaza.

Encik Trump berkata mereka membincangkan “kemajuan besar” dalam usaha menamatkan perang dan menstabilkan rantau itu, walaupun pelaksanaan pelan 20 perkara yang beliau cadangkan masih berdepan halangan, termasuk isu pelucutan senjata Hamas dan pengunduran berperingkat-peringkat tentera Israel.

Lawatan Encik Netanyahu juga menyaksikan Israel menyertai inisiatif “Lembaga Keamanan” yang diasaskan oleh Encik Trump.

Pada 11 Februari, Encik Netanyahu memaklumkan melalui platform X bahawa beliau menandatangani penyertaan Israel sebagai anggota lembaga tersebut.

Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pertengahan November membenarkan pembentukan lembaga itu untuk menyelia pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza menyusuli gencatan senjata rapuh yang bermula pada Oktober 2025.

Menurut pelan Encik Trump, lembaga itu akan menyelia tadbir urus sementara Gaza dan kemudian diperluas untuk menangani konflik global lain, dengan Encik Trump sebagai pengerusi.

Mesyuarat pertama dijadualkan pada 19 Februari di Washington bagi membincangkan pembinaan semula Gaza.

Namun beberapa pakar hak asasi manusia mengkritik struktur lembaga tersebut sebagai menyerupai model kolonial kerana ia menyelia wilayah asing tanpa penyertaan wakil Palestin.

Penyertaan Israel dalam lembaga itu dijangka menambah lagi kritikan antarabangsa.

Dalam masa sama, wujud perbezaan ketara antara Encik Trump dengan Encik Netanyahu berhubung masa depan Palestin.

Sebahagian pelan Gaza Encik Trump membuka ruang kepada kemungkinan penubuhan negara Palestin, sesuatu yang ditentang Encik Netanyahu dan gabungan sayap kanan paling keras dalam sejarah Israel.

Pada 8 Februari, kabinet keselamatan Israel meluluskan langkah yang memudahkan peneroka Israel membeli tanah di Tebing Barat yang diduduki, serta memberikan kuasa lebih luas kepada Israel di wilayah yang dianggap rakyat Palestin sebagai teras negara masa depan mereka.

Keputusan itu mengundang kecaman antarabangsa, dan Encik Trump pada 9 Februari mengulangi pendiriannya menentang penaklukan Tebing Barat.

Walaupun Washington kekal sebagai pembekal senjata utama Israel dan kedua-dua pemimpin sering dilihat sehaluan, perbezaan dalam isu Iran dan Palestin menunjukkan hubungan mereka kini memasuki fasa yang lebih kompleks.

Dengan rundingan Iran masih belum mencapai kata putus dan situasi Gaza yang rapuh, pertemuan Encik Trump dan Encik Netanyahu kali ini menggambarkan dilema besar yang dihadapi kedua-dua sekutu itu: antara pilihan diplomasi berisiko tinggi atau konfrontasi yang boleh menggoncang keseluruhan rantau. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg