WASHINGTON: Pengarah siber kebangsaan Rumah Putih, Sean Cairncross, telah “dipecat” daripada jawatannya, kata seorang individu yang rapat dengan Rumah Putih pada 19 November.

Tindakan itu diambil terhadapnya beberapa hari selepas gangguan teknologi menjejaskan penerbangan, perbankan dan sistem keselamatan negara Amerika Syarikat.

Penyingkiran itu berlaku ketika Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dan pentadbirannya berdepan penelitian yang semakin meningkat berhubung tindak balas mereka terhadap rentetan gangguan sepanjang minggu lalu.

Ini termasuk gangguan global yang menjejaskan ratusan juta pengguna Microsoft dan penghentian penerbangan di seluruh negara itu yang mengganggu lebih daripada 18,000 penerbangan.

Pemecatan Encik Cairncross itu merupakan langkah besar pertama pihak pentadbiran itu dari segi pengurusan kakitangan, sejak berlakunya gangguan tersebut.

Encik Cairncross menyelia dasar dan strategi keselamatan siber di seluruh pentadbiran persekutuan.

Ketua Pegawai Maklumat Jabatan Pertahanan, Cik Kirsten Davies, akan memangku jawatan itu buat sementara waktu, menurut sumber tersebut.

“Presiden menyokong penuh pemecatan Sean Cairncross daripada jawatannya,” kata individu berkenaan yang bercakap dengan syarat namanya tidak disebutkan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Encik Cairncross berkata dalam satu kenyataan pada malam 19 November bahawa berkhidmat dalam pentadbiran Encik Trump merupakan satu “penghormatan seumur hidup”.

Gangguan teknologi yang terbaru itu berkemungkinan terkait dengan usaha syarikat-syarikat untuk menampal kelemahan perisian yang baru ditemui dengan pantas dalam era kecerdasan buatan (AI), kata pakar keselamatan siber kepada Reuters.

Perkakasan AI yang canggih memudahkan syarikat mengesan kelemahan dalam perlindungan keselamatan siber mereka.

Pegawai perisikan tertinggi Amerika berkata pada 18 November bahawa gangguan ke atas sistem kritikal sepanjang minggu lalu merupakan gangguan perkhidmatan berasingan yang dikaitkan dengan penyelenggaraan dan perubahan teknikal, bukan serangan yang terselaras atau ditaja negara.

Senator Republikan dari Missouri, Encik Josh Hawley, pada 17 November memberitahu pemberita di Washington bahawa pentadbiran Encik Trump sepatutnya memberi taklimat kepada penggubal undang-undang mengenai gangguan tersebut supaya mereka dapat “berkongsi dengan rakyat Amerika apa yang sedang berlaku di sini”.

Encik Cairncross merupakan seorang eksekutif di Jawatankuasa Kebangsaan Republikan sebelum memegang jawatan pengarah siber.

Penggantinya perlu disahkan oleh Senat Amerika, yang akan dikuasai oleh Parti Demokrat bermula Januari. – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti