WASHINGTON: Pengarah Siber Kebangsaan di Rumah Putih, Encik Sean Cairncross, telah “dipecat” daripada jawatannya, kata seorang individu yang rapat dengan Rumah Putih pada 19 November.

Tindakan itu diambil terhadapnya beberapa hari selepas gangguan teknologi menjejas penerbangan, perbankan dan sistem keselamatan negara Amerika Syarikat.

Penyingkiran itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan pentadbirannya berdepan penelitian yang semakin memuncak berhubung tindak balas mereka terhadap rentetan gangguan sepanjang minggu lalu.

Ini termasuk gangguan sejagat yang menjejas ratusan juta pengguna Microsoft serta penangguhan operasi penerbangan di seluruh negara itu yang melibatkan lebih 18,000 penerbangan.

Pemecatan Encik Cairncross merupakan langkah besar pertama pihak pentadbiran Encik Trump dari segi pengurusan kakitangan, sejak berlakunya gangguan tersebut.

Encik Cairncross menyelia dasar dan strategi keselamatan siber di seluruh pentadbiran persekutuan.

Ketua Pegawai Maklumat Jabatan Pertahanan, Cik Kirsten Davies, akan memangku jawatan itu buat sementara waktu, dedah sumber tersebut.

“Presiden menyokong penuh pemecatan Sean Cairncross daripada jawatannya,” kata individu berkenaan yang bercakap dengan syarat namanya tidak disebutkan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Encik Cairncross berkata dalam satu kenyataan pada malam 19 November bahawa berkhidmat dalam pentadbiran Encik Trump merupakan satu “penghormatan seumur hidup”.

Gangguan teknologi terkini itu berkemungkinan terkait dengan usaha syarikat-syarikat untuk membaiki kelemahan perisian yang baru ditemui dengan pantas dalam era kecerdasan buatan (AI), kata pakar keselamatan siber kepada agensi berita, Reuters.

Perkakasan AI yang canggih memudahkan syarikat mengesan kelemahan dalam perlindungan keselamatan siber mereka.

Pegawai perisikan tertinggi Amerika berkata pada 18 November bahawa gangguan ke atas sistem kritikal sepanjang minggu lalu merupakan gangguan perkhidmatan berasingan yang dikaitkan dengan penyelenggaraan dan perubahan teknikal, bukan serangan terselaras atau ditaja negara.

Senator Republikan dari Missouri, Encik Josh Hawley, pada 17 November memberitahu pemberita di Washington bahawa pentadbiran Encik Trump sepatutnya memberi taklimat kepada penggubal undang-undang mengenai gangguan tersebut supaya mereka dapat “berkongsi dengan rakyat Amerika apakah yang sedang berlaku di sini”.

Encik Cairncross merupakan seorang eksekutif di Jawatankuasa Kebangsaan Republikan sebelum memegang jawatan pengarah siber.

Penggantinya perlu disahkan oleh Senat Amerika, yang akan dikuasai oleh Parti Demokrat bermula Januari. – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti