MILWAUKEE (Amerika Syarikat): Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengukuhkan kedudukan sebagai calon tunggal Republikan bagi pemilihan presiden Amerika semasa konvensyen kebangsaan parti pada 16 Julai, setelah tiga pencabar terdekatnya memberi laluan serta menyokong Encik Trump.
Gabenor Florida, Encik Ron DeSantis; mantan duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Nikki Haley; dan usahawan, Encik Vivek Ramaswamy, naik ke pentas di konvensyen Parti Republikan bagi menunjukkan kesetiaan kepada calon presiden Amerika yang rasmi, Encik Trump.
Encik DeSantis, Cik Haley dan Encik Ramaswamy berucap kepada 2,400 perwakilan konvensyen berkenaan pada petang 16 Julai, sekali gus menyatakan sokongan kepada Encik Trump bagi menghadapi Presiden Encik Joe Biden, pada pilihan raya presiden Amerika November ini.
Cik Haley, yang hanya empat bulan lalu berkata Amerika tidak boleh “melalui empat tahun lagi dalam huru-hara” di bawah pimpinan Encik Trump, tidak dijangka akan muncul di konvensyen tersebut.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Encik Trump mencetuskan emosi apabila memasuki dewan konvensyen di Milwaukee ketika membuat penampilan umum pertamanya sejak terselamat daripada cubaan membunuh pada hujung minggu.
Kes cubaan membunuh Encik Trump pada 13 Julai ketika kempen di Pennsylvania mengubah segala-galanya selepas sokongan kepada Encik Trump dilihat memuncak.
Pasukan Encik Trump mengumumkan bahawa beliau akan berucap pada perhimpunan kempen berkenaan pada 20 Julai bersama calon naib presiden pilihannya, Encik JD Vance.
Ia dijadual diadakan seminggu selepas cubaan membunuhnya,
Pada hari pertama konvensyen berkenaan, Encik Trump mengumumkan Encik Vance, senator Amerika berusia 39 tahun dari Ohio yang juga pengkritik tegar, kini berada di pihaknya dan menyokong beliau.
Encik Trump menerima tepukan gemuruh pada petang 15 Julai apabila beliau muncul dengan telinga kanannya berbalut, menandakan betapa beliau hampir kehilangan nyawa apabila seorang penembak bersendirian di atas bumbung melepaskan tembakan ke arahnya.
Sementara itu, Encik Biden pada 16 Julai menggesa larangan dikenakan terhadap jenis senapang separuh automatik yang digunakan dalam cubaan membunuh itu.
“AR-15 digunakan dalam penembakan Donald Trump... Sudah tiba masanya untuk mengharamkannya,” kata pemimpin Demokrat itu semasa berkempen di Las Vegas.
Meskipun Encik Trump, 78 tahun, semakin yakin untuk kembali ke Rumah Putih di sebalik pelbagai masalah undang-undang dan dua pemecatan menyelubungi penggal pertamanya, Encik Biden pula dilihat terkial-kial hasil tinjauan pendapat yang lemah dan kebimbangan Demokrat terhadap tahap kesihatannya. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg