MILWAUKEE (Amerika Syarikat): Encik Donald Trump telah memilih James David Vance, seorang senator Republikan dari Ohio, sebagai pasangannya untuk bertanding dalam pilihan raya Amerika Syarikat pada November.
Pemilihannya sekali gus mengangkat seorang ahli politik yang pernah mengkritik mantan presiden itu dengan kata-kata kasar tetapi sejak itu menjadi salah seorang pembelanya yang paling gigih.
Berita itu, yang pertama kali diumumkan di laman web media Encik Trump, Truth Sosial, muncul pada permulaan Konvensyen Kebangsaan Republikan selama empat hari di Milwaukee ketika para perwakilan mengisytiharkan mantan presiden itu sebagai calon mereka.
“Selepas menimbangkan, berfikir panjang dan meneliti bakat luar biasa ramai yang lain, saya telah memutuskan bahawa orang yang paling sesuai untuk menyandang jawatan naib presiden Amerika ialah Senator JD Vance dari Ohio,” tulis Encik Trump.
Konvensyen bermula pada 15 Julai itu berlangsung di pusat bandar Milwaukee – dua hari selepas Encik Trump terselamat daripada percubaan membunuhnya di Pennsylvania dan beberapa jam selepas beliau meraih kemenangan besar di sisi undang-undang apabila hakim persekutuan menolak salah satu pendakwaan jenayah terhadapnya.
Pemilihan Encik Vance, pengarang memoir terlaris, Hillbilly Elegy, boleh membantu meningkatkan jumlah keluar mengundi untuk Encik Trump dalam pilihan raya pada 5 November.
Seorang konservatif yang teguh, Encik Vance tidak mungkin membawa ramai pengundi baru ke pihak Encik Trump dan mungkin mengasingkan sesetengah golongan sederhana.
Beberapa penyokong Encik Trump telah menyarankan agar beliau memilih seorang wanita atau dengan warna kulit berbeza sebagai pasangan calonnya bagi mengembangkan pakatan yang condong ke arah lelaki kulit putih.
Tidak lama selepas pengumuman tersebut, Encik Vance muncul bersama isterinya Cik Usha, berjabat tangan dan memeluk perwakilan yang mengerumuni pasangan itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg