FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pada 2 Mei berkata beliau telah dimaklumkan mengenai konsep perjanjian dengan Iran, namun masih menunggu perincian teks rasmi sebelum membuat sebarang keputusan.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kemungkinan untuk melancarkan semula serangan ke atas negara tersebut tetap ada sekiranya Tehran “berkelakuan buruk”.

Seorang pegawai kanan Iran pada 2 Mei, berkata usulan Iran yang sebelum ini ditolak oleh Encik Trump bakal menyaksikan pembukaan laluan perkapalan Selat Hormuz dan menamatkan sekatan Amerika terhadap Iran. 

Usulan itu juga mencadangkan agar rundingan mengenai program nuklear Iran ditangguhkan buat masa ini.

Ketika ditanya mengenai usulan Iran sebelum menaiki pesawat ke Miami, Encik Trump menjawab:

“Mereka telah memberitahu saya mengenai konsep perjanjian tersebut. Mereka akan menyerahkan teks tepat kepada saya sekarang.”

Encik Trump menerusi platform media sosialnya, berkata beliau tidak boleh bayangkan usulan tersebut akan diterima memandangkan Iran belum ‘membayar harga cukup tinggi’ atas tindakan mereka sebelum ini.

Ditanya sama ada beliau akan melancarkan semula serangan ke atas Iran, Encik Trump menegaskan:

“Saya tidak mahu mengulas tentang itu. Maksud saya, saya tidak boleh beritahu perkara itu kepada wartawan. Jika mereka melakukan sesuatu yang buruk, buat masa ini kita akan lihat dahulu. Namun, kemungkinan itu (serangan) tetap ada.”

Encik Trump telah berulang kali menegaskan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear buat selamanya, sambil menyatakan rasa tidak puas hati terhadap usulan terbaru Iran.

Sementara itu, Menteri Luar Iran menyatakan kesediaan Teheran untuk kembali ke meja rundingan sekiranya Amerika mengubah pendekatannya.

Reuters dan beberapa organisasi berita lain sepanjang minggu lalu melaporkan bahawa Teheran mengusulkan pembukaan semula Selat Hormuz sebelum isu nuklear diselesaikan.

Pegawai kanan Iran mengesahkan bahawa garis masa baru ini telah diperincikan dalam usulan rasmi yang disampaikan kepada Amerika melalui pihak perantara.

Pada 1 Mei, Encik Trump berkata beliau tidak gemar memilih tindakan ketenteraan sebagai jalan penyelesaian “atas dasar kemanusiaan”. 

Encik Trump juga memaklumkan kepada pemimpin Kongres bahawa beliau tidak memerlukan kebenaran mereka untuk melanjutkan operasi ketenteraan melangkaui tempoh akhir yang ditetapkan undang-undang bagi operasi tersebut, iaitu pada 1 Mei.

Ini kerana menurut beliau, gencatan senjata telah “menamatkan” permusuhan antara dua negara tersebut.

Konflik tersebut telah meningkatkan tekanan domestik terhadap Encik Trump untuk menamatkan penguasaan Iran di selat berkenaan.

Penutupan laluan perkapalan itu telah mengakibatkan sekatan 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia, sekali gus melonjakkan harga petrol di Amerika.

Parti Republikan pimpinan Encik Trump kini berdepan risiko tindak balas daripada pengundi berikutan kenaikan harga bahan api apabila negara itu mengadakan pilihan raya separuh penggal Kongres pada November ini.

Media Iran melaporkan bahawa usulan 14 perkara oleh Teheran merangkumi pengunduran tentera Amerika dari kawasan sekitar Iran, penamatan sekatan, pembebasan aset Iran yang dibekukan, pembayaran pampasan, penarikan balik sekatan ekonomi, serta penamatan perang di semua barisan termasuk Lebanon, selain kaedah kawalan baru bagi Selat Hormuz.

Amerika dan Israel telah menggantung kempen pengeboman terhadap Iran empat minggu lalu, namun kedua-dua pihak dilihat masih belum mencapai kata sepakat bagi menamatkan perang yang telah mencetuskan gangguan terbesar dalam sejarah terhadap bekalan tenaga global, serta meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kemerosotan ekonomi global lebih luas. – Reuters.