NEW YORK: Encik Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat pertama yang disabitkan dengan jenayah pada 30 Mei, apabila juri New York mendapati beliau bersalah memalsukan dokumen untuk merahsiakan bayaran bagi menutup mulut seorang bintang lucah, menjelang pilihan raya 2016.
Selepas dua hari perbicaraan, juri 12 orang anggota menyatakan Encik Trump bersalah atas semua 34 pertuduhan jenayah yang dihadapinya.
Encik Trump memerhatikan para juri dengan tidak sabar, ketika mereka membuat penentuan untuk mengesahkan keputusan sebulat suara.
Hakim Juan Merchan menetapkan 11 Julai sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman, hanya beberapa hari sebelum Parti Republikan dijadualkan mencalonkan Encik Trump secara rasmi sebagai calon presiden parti itu, menjelang Pilihan Raya Presiden pada 5 November 2024.
Jenayah memalsukan dokumen perniagaan, membawa hukuman maksimum penjara empat tahun, walaupun mereka yang disabitkan sering menerima hukuman yang lebih pendek, denda atau tempuh percubaan.
Hukuman penjara tidak akan menghalang Encik Trump secara sah daripada berkempen, atau memegang jawatan jika beliau menang.
Beliau tidak akan dipenjarakan sebelum hukuman dijatuhkan.
Keputusan itu menjerumuskan Amerika ke dalam suatu keadaan yang belum pernah dilalui menjelang undian pada November, apabila Encik Trump akan cuba menguasai semula Rumah Putih daripada Presiden Demokrat, Encik Joe Biden.
Enciki Trump, 77 tahun, telah menafikan salah laku, dan seorang peguam yang mewakilinya berkata mereka akan membuat rayuan secepat mungkin.
“Ini memalukan,” kata Encik Trump kepada pemberita selepas itu, sambil mengisytiharkan dirinya tidak bersalah dan mengulangi aduannya bahawa perbicaraan terhadapnya telah ditipu.
“Keputusan sebenar ialah 5 November oleh rakyat,” katanya.
Encik Trump menunjukkan isyarat ibu jari melalui tingkap kenderaan yang dinaikinya, sambil meninggalkan bangunan mahkamah.
Para penyokong Encik Trump berdiri di taman bertentangan dengan mahkamah bersama-sama wartawan, polis dan penonton.
Mereka membanjiri laman web menyokong pemimpin itu dengan mesej menghasut supaya diadakan protes, revolusi dan tindak balas ganas bagi membela nasib pemimpin mereka.
Ini adalah berdasarkan pemerhatian Reuters terhadap komen di tiga laman sesawang mewakili Encik Trump iaitu platform Truth Social milik bekas presiden itu sendiri, Patriots.Win dan Gateway Pundit.
Tinjauan pendapat menunjukkan Encik Trump dan Encik Biden, 81 tahun, terikat dalam persaingan ketat, dan tinjauan Reuters/Ipsos mendapati bahawa keputusan bersalah boleh menjejas sokongan terhadap Encik Trump dalam kalangan pengundi bebas dan Republikan.
Kes itu telah dianggap secara meluas sebagai yang paling tidak penting daripada empat pendakwaan jenayah yang dihadapi Encik Trump.
Tetapi keputusan itu kelihatan besar sekarang, kerana ia mungkin satu-satunya sebelum pilihan raya, dengan yang lain ditangguhkan oleh cabaran prosedur.
Juri mendapati Encik Trump bersalah kerana memalsukan dokumen perniagaan, selepas mendengar hujah selama lima minggu di mahkamah, yang memaparkan keterangan eksplisit daripada bintang lucah, Cik Stormy Daniels, mengenai pertemuan seksual yang dikatakannya pernah dia lakukan dengan Encik Trump pada 2006 semasa dia berkahwin dengan isterinya sekarang, Cik Melania Trump.
Encik Trump menafikan pernah melakukan hubungan seks dengan Cik Daniels.
Bekas penetap Encik Trump, Encik Michael Cohen, memberi keterangan bahawa Encik Trump meluluskan pembayaran wang senyap $130,000 kepada Daniels pada minggu-minggu terakhir pilihan raya 2016, apabila Encik Trump menghadapi pelbagai tuduhan salah laku seksual.
Encik Cohen memberi keterangan bahawa beliau mengendalikan pembayaran itu, dan Encik Trump meluluskan rancangan untuk membayarnya balik melalui pembayaran bulanan, seolah-olah sebagai bayaran bagi khidmat undang-undang. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg