Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Presiden Xi sedar akibat jika China serang Taiwan

Nov 3, 2025 | 5:06 PM
Amerika Syarikat, China, Donald Trump, Xi Jinping
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden China, Encik Xi Jinping, berbual sejurus sebelum berlepas setelah menghadiri mesyuarat dua hala di Korea Selatan pada 30 Oktober. - Foto AFP

WEST PALM BEACH (Amerika Syarikat): Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Presiden China, Encik Xi Jinping, faham akibatnya jika China menyerang Taiwan.

Namun beliau enggan menyatakan secara khusus bahawa Amerika akan mempertahankan pulau itu, menurut petikan temu bual CBS News yang disiarkan pada 2 November.

Encik Trump berkata Taiwan “tidak pernah disebut sebagai subjek” ketika beliau bertemu Encik Xi di Korea Selatan pada 30 Oktober untuk pertemuan empat mata pertama mereka dalam tempoh enam tahun.

Apabila ditanya dalam rancangan 60 Minutes CBS itu sama ada beliau akan mengarahkan tentera Amerika bertindak jika China mengambil langkah ketenteraan menentang Taiwan, Encik Trump berkata:

“Anda akan mengetahuinya jika ia berlaku, dan beliau faham jawapannya.”

Tetapi Encik Trump enggan menjelaskan apa yang dimaksudkannya dalam temu bual itu, yang berlangsung pada 31 Oktober di pusat peranginan Mar-a-Lago di Florida, sambil menambah:

“Saya tidak boleh mendedahkan rahsia saya. Pihak lain tahu.”

Pemimpin Amerika itu mendakwa bahawa Encik Xi dan mereka yang rapat dengannya telah “berkata secara terbuka” bahawa “’kami tidak akan pernah melakukan apa-apa semasa Presiden Trump menjadi presiden’, kerana mereka tahu akibatnya”.

China mendakwa Taiwan memerintah sendiri wilayahnya.

Di bawah dasar yang telah lama wujud, Amerika hanya mengiktiraf Beijing tetapi menyediakan senjata untuk mempertahankan pulau itu.

Isu ini terus mencetuskan ketegangan, yang nampaknya dielakkan oleh Encik Trump dan Encik Xi pada sidang puncak mereka di Korea Selatan.

Mereka sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha untuk meredakan perang perdagangan antara Washington dengan Beijing.

Dalam pada itu, The Straits Times melaporkan bahawa Taipei menghela nafas lega apabila Encik Trump dan Encik Xi mengelak daripada bercakap tentang Taiwan semasa pertemuan mereka pada 30 Oktober di Korea Selatan.

“Kami telah mengikuti secara rapat sidang puncak itu dan kami mengalu-alukan apa sahaja yang membantu memastikan status quo keselamatan dan kestabilan serantau,” kata jurucakap Pejabat Presiden Taiwan, Cik Karen Kuo, dalam sidang akhbar pada 30 Oktober.

“Taiwan akan terus mengekalkan hubungan rapat dengan Amerika dan komunikasi antara kedua-dua pihak berjalan lancar,” tambahnya.

Para pemerhati, termasuk beberapa pegawai Rumah Putih yang tidak dinamakan, dilaporkan bimbang bahawa presiden mereka boleh melupuskan dasar Amerika yang telah lama berkuat kuasa mengenai Taiwan dan secara terbuka menyatakan bantahan terhadap kemerdekaan pulau itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg