Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Xi kepada Trump: China-AS harus jadi rakan, bukan pesaing

Trump yakin perbincangan di Busan tanda permulaan era baru hubungan dua hala
Oct 30, 2025 | 4:35 PM
trump, xi jinping
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (kiri) menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping ketika mereka tiba bagi menghadiri perbincangan di Pangkalan Udara Gimhae, bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Busan, Korea Selatan, pada 30 Oktober. - Foto AFP

BUSAN: Presiden China Xi Jinping menegaskan bahawa China dan Amerika Syarikat harus menjadi “rakan dan sahabat”, bukan pesaing, sambil menekankan bahawa perbezaan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia adalah sesuatu yang normal dan tidak seharusnya menghalang kerjasama antara kedua-dua negara.

Kenyataan itu dibuat ketika Encik Xi bertemu dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Pangkalan Udara Gimhae, Busan, Korea Selatan, di luar Sidang Puncak Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), pada 30 Oktober.

Pertemuan itu adalah kali pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih.

“Hubungan China dan Amerika secara keseluruhan kekal stabil. Memandangkan keadaan negara kita berbeza, adalah perkara biasa untuk tidak selalu sependapat. Sebagai dua kuasa ekonomi utama dunia, sedikit geseran dari semasa ke semasa adalah lumrah,” kata Encik Xi.

“Namun, di sebalik cabaran dan gelombang perubahan dunia, kita mesti terus mengemudi hubungan dua hala ini ke arah yang betul,” tambahnya.

Menurut Encik Xi, Beijing dan Washington mampu membantu antara satu sama lain untuk maju dan makmur bersama, selaras dengan sejarah panjang hubungan kedua-dua negara.

“Selama bertahun-tahun saya telah menyatakan secara terbuka China dan Amerika seharusnya menjadi rakan dan sahabat. Inilah yang diajar oleh sejarah kepada kita dan dituntut oleh realiti semasa,” katanya.

Encik Xi turut menjelaskan beliau dan Encik Trump telah mengekalkan hubungan rapat sejak kemenangan semula Encik Trump, termasuk tiga kali panggilan telefon dan beberapa siri pertukaran surat antara kedua-dua pemimpin tersebut.

Encik Trump pula memuji Encik Xi sebagai “pemimpin hebat bagi sebuah negara hebat” dan menyifatkan hubungan mereka kini berada pada landasan positif.

“Presiden Xi ialah seorang pemimpin hebat bagi sebuah negara yang hebat, dan saya percaya kita akan menjalin hubungan luar biasa untuk jangka panjang. Ia satu penghormatan besar menerima beliau di sini,” kata Encik Trump.

Beliau turut mengakui bahawa Encik Xi adalah seorang “perunding yang sangat tegas”, namun beliau yakin perjanjian perdagangan baru antara kedua-dua negara boleh dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Encik Xi berkata dalam pusingan rundingan terkini di Kuala Lumpur, pasukan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara telah mencapai “permuafakatan asas” mengenai isu utama yang dibangkitkan.

“Kesepakatan ini telah menyediakan asas penting untuk pertemuan hari ini,” kata Encik Xi.

“Saya bersedia untuk terus bekerjasama dengan anda, Tuan Presiden, bagi membina asas kukuh hubungan China-Amerika dan mewujudkan suasana yang baik untuk pembangunan kedua-dua negara.”

Encik Trump turut mengesahkan pencapaian itu, sambil menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju mengenai banyak perkara dan akan terus menambah persetujuan baru.

“Saya rasa kita sudah capai banyak kata sepakat, dan hari ini kita akan tambah lagi,” katanya kepada Encik Xi.

Dalam pertemuan itu, Encik Xi turut menghargai peranan Encik Trump dalam memastikan tercapainya perjanjian gencatan senjata Gaza pada 10 Oktober yang disifatkannya sebagai langkah positif ke arah keamanan sejagat.

“Tuan Presiden sangat mengambil berat tentang keamanan dunia dan amat bersemangat menyelesaikan pelbagai isu panas di rantau ini. Saya menghargai sumbangan besar anda terhadap kejayaan gencatan senjata Gaza,” kata Encik Xi.

Encik Xi juga menyebut tentang Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dengan Thailand yang ditandatangani baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa China turut memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan pertikaian sempadan kedua-dua negara tersebut.

“Dunia kini berdepan pelbagai cabaran besar. China dan Amerika harus memikul tanggungjawab bersama sebagai negara utama dan bekerjasama untuk mencapai kejayaan nyata demi kebaikan kedua-dua negara serta dunia,” ujar Encik Xi.

Pertemuan antara dua pemimpin itu disifatkan sebagai usaha menstabilkan hubungan dua hala yang tegang akibat perang dagang dan perbezaan strategik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Encik Xi menekankan bahawa kedua-dua pemimpin kini mengemudi hubungan China-Amerika, dan oleh itu perlu memastikan “kapal besar” hubungan dua hala itu terus berlayar dengan selamat.

“Anda dan saya berada di kemudi hubungan China-Amerika. Dalam menghadapi cabaran dan gelombang, kita mesti kekal di haluan yang betul dan memastikan kapal besar hubungan ini terus berlayar dengan stabil,” katanya.

Encik Trump pula mengakhiri pertemuan itu dengan keyakinan bahawa perbincangan di Busan menandakan permulaan era baru hubungan Amerika-China.

“Saya percaya kita akan membina hubungan luar biasa yang akan bertahan lama. Dunia memerlukan kerjasama antara Amerika dengan China dan hari ini, kita telah mengambil langkah besar ke arah itu,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg