Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Putin ‘bermain api’ ketika AS timbang sekatan baru ke atas Moscow

May 28, 2025 | 2:47 PM
Gambar yang dikeluarkan oleh bahagian media Perkhidmatan Kecemasan Ukraine pada 26 Mei 2025 menunjukkan kebakaran di sebuah kilang perusahaan swasta berikutan serangan Russia di wilayah Kharkiv.
Gambar yang dikeluarkan oleh bahagian media Perkhidmatan Kecemasan Ukraine pada 26 Mei 2025 menunjukkan kebakaran di sebuah kilang perusahaan swasta berikutan serangan Russia di wilayah Kharkiv. - Foto: AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Donald Trump memberi amaran kepada Presiden Vladimir Putin pada 27 Mei bahawa beliau “bermain dengan api,” ketika Washington menimbangkan sekatan baru terhadap Moscow berhubung perang Ukraine.

Hantaran terbaru Encik Trump menunjukkan kekecewaannya dengan rundingan gencatan senjata yang terhenti dan timbul dua hari selepas beliau menggelar pemimpin Kremlin itu “amat gila” berikutan serangan dron besar ke atas Ukraine.

Moscow, yang mula menyerang Ukraine pada Februari 2022, menegaskan ia bertindak balas terhadap peningkatan serangan Ukraine terhadap orang awamnya sendiri dan menuduh Kyiv cuba “mengganggu” usaha damai.

Usaha diplomatik untuk menamatkan perang telah dipergiat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi Encik Putin telah dituduh menghalang rundingan damai.

“Apa yang tidak Putin sedari ialah jika bukan kerana saya, banyak perkara buruk akan berlaku kepada Russia, dan maksud saya sangat buruk. Beliau bermain api!” kata Encik Trump menerusi platform Truth Social miliknya.

Namun, beliau tidak menyatakan apa yang dimaksudkan “sangat buruk” itu.

Tetapi Wall Street Journal dan CNN kedua-duanya melaporkan bahawa pemimpin Republikan itu kini mempertimbangkan sekatan baru seawal minggu ini.

Encik Trump memberitahu pemberita pada 25 Mei bahawa beliau “benar-benar” menimbang langkah sedemikian.

Rumah Putih berkata Encik Trump mengekalkan “semua pilihan” terbuka.

“Perang ini adalah kesalahan mantan Presiden Joe Biden, dan Presiden Trump jelas mahu melihat perjanjian damai yang dirundingkan. Presiden Trump juga bijak menyimpan semua pilihan di atas meja,” kata Setiausaha Akhbar Cik Karoline Leavitt.

Presiden Biden mengenakan sekatan menyeluruh selepas pencerobohan Russia.

Encik Trump setakat ini telah mengelak apa yang dikatakannya boleh “menghancurkan” sekatan ke atas bank Russia.

Tetapi, teguran beliau baru-baru ini menandakan perubahan mendadak sikapnya terhadap Encik Putin, yang sering diperkatakannya dengan penuh kagum.

Kekecewaannya terhadap kegagalannya menamatkan perang, memuncak pada hujung minggu selepas serangan dron Russia di Ukraine membunuh sekurang-kurangnya 13 orang.

“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Putin tetapi sesuatu telah berlaku kepadanya. Beliau sudah menjadi gila!” kata Encik Trump.

Russia telah meneruskan serangan walaupun kedua-dua pemimpin itu telah berhubung menerusi telefon dan Encik Putin telah bersetuju untuk segera memulakan rundingan.

“Kyiv, dengan sokongan beberapa negara Eropah, telah mengambil beberapa siri langkah provokatif untuk menggagalkan rundingan yang dimulakan oleh Rusia,” kata Kementerian Pertahanan Russia. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg