Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tarik balik tuntutan Russia umum gencatan senjata di Ukraine

May 20, 2025 | 1:41 PM
Presiden trump, putin
Gabungan foto memaparkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kiri) sedang bercakap melalui telefon pada 28 Januari 2017 di Washington, dan Presiden Russia, Vladimir Putin (kanan) di Moscow pada 27 Disember 2023. Presiden Trump mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Putin pada 19 Mei 2025 sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menamatkan perang yang tercetus susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 19 Mei berundur daripada tuntutannya supaya Russia mengisytiharkan gencatan senjata segera di Ukraine.

Beliau sebaliknya menyokong gesaan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, agar diadakan rundingan terus antara Ukraine dengan Russia.

Selepas panggilan telefon selama dua jam dengan Encik Putin, Encik Trump berkata pemimpin Russia itu telah bersetuju untuk “segera” memulakan rundingan terus dengan Ukraine ke arah gencatan senjata dan perjanjian damai yang lebih luas untuk menamatkan perang.

Beliau berkata syarat itu akan dirundingkan secara langsung antara negara yang berperang “kerana mereka lebih mengetahui butiran rundingan yang tidak diketahui oleh orang lain”.

Ia adalah perubahan daripada ancaman Encik Trump baru-baru ini yang lebih banyak memberikan tekanan ke atas Russia, seperti ketika beliau membangkitkan prospek sekatan perbankan baru pada April kerana Encik Putin mungkin tidak “mahu menghentikan perang” dan “perlu ditangani secara berbeza”.

Encik Trump juga kelihatan bersemangat untuk menyerahkan peranan pengantaranya kepada kuasa yang lebih tinggi: Paus (Pope).

Dalam kenyataannya, Encik Trump berkata Vatican telah menzahirkan minat mahu menganjurkan rundingan yang akan datang, dan menggesa: “Biar proses itu bermula!

Sementara Encik Trump membentangkan permulaan rundingan damai sebagai konsesi oleh Encik Putin, beliau sebahagian besarnya menyokong pendekatan Encik Putin sendiri, memandangkan Russia telah menyahut seruan untuk menghentikan pertempuran dengan mencadangkan rundingan lanjut.

Kini, Encik Trump nampaknya bersedia mengalah dan menggesa Russia dan Ukraine supaya mencapai perjanjian secara langsung.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine Encik Volodymyr Zelensky menyatakan kebimbangan mengenainya dengan berkata bahawa “proses rundingan mesti melibatkan kedua-dua wakil Amerika dan Eropah di peringkat yang sesuai”.

Pegawai Russia dan Ukraine telah bertemu pada 16 Mei di Istanbul, Turkey, untuk rundingan damai langsung pertama mereka dalam tempoh lebih tiga tahun.

Mereka bersetuju untuk terus berbincang dan saling menukar 1,000 banduan yang ditahan di negara masing-masing. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg