WASHINGTON: Presiden Donald Trump menyatakan beliau baru sahaja memulakan langkah setapak dalam mengetuai pentadbiran radikal yang telah menggegarkan dunia dan menggugat kestabilan Amerika Syarikat.
Dengan pujian penyokong yang bersorak di Michigan, pemimpin berusia 78 tahun itu menggembar-gemburkan “100 hari pertama paling berjaya dalam mana-mana pentadbiran dalam sejarah negara kita”.
Kenyataan itu dibuat walaupun tinjauan menunjukkan rakyat Amerika kecewa dengan kemelut ekonomi dan politik di bawah pentadbirannya.
Encik Trump berkata beliau merindui kegiatan berkempen dan menerapkan semangat dengan penuh kegembiraan ke dalam ucapan yang kedengaran seperti calon daripada ketua negara.
Mantan Presiden Joe Biden “mengantuk”; media “palsu”; hakim yang menentangnya disifatkan sebagai “Komunis”; penentang Demokrat adalah “radikal kiri”; dan negara sahabat telah “mendera kita lebih daripada musuh dalam perdagangan,” kata Encik Trump, menyenaraikan sasaran kemarahannya.
Beliau berjanji untuk memuktamadkan perjanjian dagangan, tetapi memberikan sedikit perincian.
Dengan melaungkan, “Amerika! Amerika!”, beliau menunjukkan video pendatang yang digari keluar dari kapal terbang, diangkut dengan bas dan dirakam ketika melutut dengan kepala mereka dicukur, menggambarkan dasar pengusirannya yang kontroversial.
“Kami telah melakukan segala-galanya,” tegasnya.
Encik Trump telah menggegarkan Amerika seperti beberapa presiden sebelum beliau.
Penyokong beliau yang juga jutawan, Encik Elon Musk, telah mengetuai pengurangan dramatik tenaga kerja persekutuan.
Presiden Amerika itu turut membentuk semula hubungan dengan dunia melalui pendedahan tarif menyeluruh, mencela sekutu dan menghapuskan banyak bantuan asing.
Tinjauan menunjukkan tempoh bulan madu yang menurut sejarah rakyat Amerika diberikan kepada presiden pada permulaan penggal mereka telah pupus bagi Encik Trump, yang dengan marah menepis hasil tinjauan tersebut.
Namun, dalam diam-diam Encik Trump mengakui beliau mesti menyederhanakan beberapa dasar yang menyebabkan kegawatan pasaran saham.
Wall Street, turun lebih 6 peratus sejak Encik Trump mengambil alih jawatan.
Sementara itu, pada 29 April, beliau menyatakan beberapa tarif yang memberi kesan kepada pembuat kereta akan diturunkan.
Baru-baru ini, beliau turut menarik balik ancaman untuk memecat, Pengerusi Lembaga Simpanan Federal, Encik Jerome Powell, yang memberi amaran bahawa tarif Encik Trump mungkin akan mencetuskan semula inflasi.
Encik Trump juga memberitahu pemberita beliau berada di landasan yang betul untuk mencapai semua matlamat penggal keduanya.
“Saya fikir sama ada kita telah melakukan segala-galanya, atau ia dalam proses untuk diselesaikan,” ujar Encik Trump, sebelum menuju ke perhimpunannya. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg