WASHINGTON: Lembaga Simpanan Federal (Fed) tidak membuat perubahan kepada kadar faedah pada 19 Mac dalam mesyuarat kedua berturut-turut.
Para pegawai berpegang pada ramalan dua lagi pemotongan pada 2025, walaupun mereka bersiap sedia bagi inflasi lebih tinggi dan pertumbuhan lebih perlahan.
Jangkaan ekonomi yang dikeluarkan oleh bank pusat itu pada 19 Mac menunjukkan, walaupun pegawai menjangkakan inflasi meningkat pada 2025 lebih cepat daripada yang dijangkakan sebelum ini, mereka juga menjangka trend itu bersifat sementara.
Dalam sidang akhbar selepas mesyuaratnya, pengerusi Fed, Encik Jerome Powell, berkata jangkaan semasa ialah sebarang lonjakan harga daripada tarif mungkin bersifat sementara.
Saham Amerika meningkat sebagai tindak balas, dengan S&P 500 mengaut kembali keuntungan daripada keadaan kucar-kacir sejak akhir Februari yang telah membawa penanda aras secara ringkas ke dalam daerah pembetulan.
Saham mewah Dow Jones Industrial Average meningkat 383.32 mata, atau 0.93 peratus; S&P 500 melonjak 1.08 peratus manakala Komposit Nasdaq yang menyenaraikan kebanyakannya saham teknologi tinggi meningkat 1.41 peratus.
Keputusan bank pusat untuk kekalkan kadar faedah pada 4.25 peratus hingga 4.5 peratus melanjutkan jeda yang telah dilaksanakan sejak Januari berikutan beberapa siri pemotongan pada akhir 2024 yang telah menurunkan kos pinjaman 1 mata peratusan.
Fed mengundi pada saat yang sangat tidak menentu bagi ekonomi Amerika di tengah-tengah perubahan besar dasar daripada Presiden Donald Trump sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari.
Pergolakan itu menimbulkan kerumitan kepada bank pusat itu, yang masih bergelut untuk menghapuskan inflasi yang tinggi dan kini mesti berdepan dengan keadaan yang berbeza secara drastik, sedang ia cuba mengambil langkah tanpa menjejas apa yang kelihatan masih merupakan pasaran tenaga kerja yang kukuh.
Dalam satu kenyataan pada 19 Mac, Fed menyatakan “ketidakpastian di sekitar ramalan ekonomi telah meningkat” walaupun ia mengekalkan nada positif tentang keadaan ekonomi itu.
Ia berkata kegiatan ekonomi terus berkembang pada “kelajuan yang kukuh” dan kadar pengangguran “telah menjadi stabil pada tahap yang rendah”.
Para pegawai juga berkongsi satu set ramalan ekonomi baru yang mengambarkan para pengamat telah mengubah pandangan mereka, memandangkan Encik Trump telah mula melaksanakan agenda ekonominya.
Kebanyakan pegawai masih menjangka kadar faedah turun pada 2025 kepada 3.75 peratus hingga 4 peratus, seperti yang berlaku apabila ramalan kali terakhir diterbitkan pada Disember.
Namun lapan pembuat dasar meramalkan sama ada tiada pemotongan tambahan, atau hanya satu.
Hanya dua berpendapat Fed akan menurunkan kadar sebanyak 0.75 mata peratusan, atau memberi pengurangan tiga suku mata pada 2025.
Menjelang akhir 2026, banyak pegawai menjangka kadar faedah akan turun setengah mata peratusan lagi kepada 3.25 peratus hingga 3.5 peratus sebelum jatuh kepada sekitar 3 peratus pada 2027.
Pegawai Fed kini melihat ekonomi berkembang hanya 1.7 peratus pada 2025, berbanding jangkaan awal mereka iaitu pertumbuhan 2.1 peratus, dan meramalkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.4 peratus. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg