Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan awal susulan tarif Trump bakal landa ekon dunia

Apr 21, 2025 | 4:43 PM
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dijangka menurunkan unjuran pertumbuhannya dalam ramalan baru yang akan dikeluarkan pada 22 April.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dijangka menurunkan unjuran pertumbuhannya dalam ramalan baru yang akan dikeluarkan pada 22 April. - Foto AFP

FRANKFURT (Jerman): Tiga minggu selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengisytiharkan perang perdagangan dengan seluruh dunia, ramalan dan tinjauan ekonomi terkini dijangka akan menunjukkan kesan awalnya.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), yang terletak berhampiran Rumah Putih, dijangka menurunkan unjuran pertumbuhannya dalam ramalan baru yang akan dikeluarkan pada 22 April.

Pada 23 April, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dari Jepun hingga ke Eropah dan Amerika akan memberikan penilaian pertama yang diselaraskan tentang kegiatan pengeluaran dan perkhidmatan sejak tarif global Encik Trump – yang kini sebahagiannya dihentikan – diumumkan pada 2 April.

Tinjauan perniagaan daripada ekonomi-ekonomi utama juga dijangka dikeluarkan.

Gambaran keseluruhan ini dijangka memberikan peluang kepada para menteri kewangan dan pegawai bank pusat yang berhimpun di Washington membuat penilaian awal tentang kerosakan akibat percubaan Encik Trump untuk menyusun semula sistem perdagangan global.

“Unjuran pertumbuhan baru kami akan merangkumi pengurangan yang ketara, tetapi tidak sampai ke tahap kemelesetan,” kata pengarah urusan IMF, Cik Kristalina Georgieva, pada 17 April. 

“Kami juga akan melihat peningkatan ramalan inflasi di beberapa negara. Kami akan memberi amaran bahawa ketidakpastian yang berterusan boleh meningkatkan risiko tekanan ke atas pasaran kewangan,” tambahnya.

Penganalisis Ekonomi Bloomberg, Encik Alex Isakov dan Cik Adriana Dupita, berkata:

“Unjuran IMF selalunya cenderung lebih optimistik semasa krisis besar. Dalam empat krisis besar yang telah kami kaji, penilaian awal IMF tentang kesan terhadap pertumbuhan global sering direndahkan sebanyak 0.5 mata peratusan. Walaupun IMF mungkin menurunkan ramalan pertumbuhannya pada awalnya, sejarah menunjukkan impaknya akhirnya akan lebih buruk.”

Ketidakpastian yang membayangi ekonomi global ini tidak mungkin akan hilang dalam masa terdekat.

Pengerusi Lembaga Simpanan Federal (Fed), Encik Jerome Powell, berkata pada 16 April bahawa bank pusat Amerika “berada dalam kedudukan yang baik untuk menunggu kejelasan lebih lanjut” sebelum mempertimbangkan perubahan dalam dasar kewangan.

Sementara itu, ketua Bank Pusat Eropah, Cik Christine Lagarde, tidak dapat mengatakan sama ada ketidakpastian yang melanda telah mencapai kemuncaknya.

Cik Georgieva pula berharap bahawa tempoh beberapa hari mendatang, yang turut menampilkan mesyuarat oleh para menteri kewangan Kumpulan 20 (G20), mungkin dapat menurunkan ketegangan dalam hubungan perdagangan global.

“Kita memerlukan ekonomi dunia yang lebih tahan lasak, bukan yang menuju perpecahan,” katanya.

Perhimpunan di Washington “menyediakan forum yang penting untuk dialog pada masa yang kritikal,” tambahnya.

Sementara itu, Encik Trump sekali lagi menimbulkan persoalan sama ada beliau akan berusaha untuk mengehadkan kebebasan Fed, sedang ketegangan baru muncul dalam hubungannya dengan bank pusat itu.

Pada 20 April, presiden Chicago Fed, Encik Austan Goolsbee, memberi amaran terhadap sebarang usaha tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg