Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump raih lebih AS$1b daripada kripto sejak kembali ke Rumah Putih
Trump raih lebih AS$1b daripada kripto sejak kembali ke Rumah Putih
Keluarga Presiden dikatakan kaut untung besar daripada ‘memecoin $TRUMP’, pelabur kecil rugi besar; Trump dakwa pelaburan peribadinya diurus pihak lain
Trump raih lebih AS$1b daripada kripto sejak kembali ke Rumah Putih
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan keluarganya meraih keuntungan besar daripada industri kripto sejak beliau kembali ke Rumah Putih, meskipun ratusan ribu pelabur kecil dilaporkan mengalami kerugian besar selepas membeli ‘memecoin $TRUMP’.
Menurut pendedahan kewangan tahunan setebal 927 halaman itu, sebahagian besar daripada pendapatan AS$2 bilion ($2.59 bilion) yang diraih Encik Trump pada 2025 dihasilkan daripada sektor kripto, termasuk AS$636 juta menerusi ‘memecoin $TRUMP’ dan AS$799 juta lagi daripada firma World Liberty Financial.
‘Memecoin $TRUMP’ dipasarkan sebagai aset digital berasaskan imej Encik Trump, termasuk gambar beliau mengangkat penumbuk selepas percubaan membunuhnya pada 2024.
Namun, seperti kebanyakan ‘memecoin’ lain, aset itu tidak mempunyai nilai asas sebenar dan bergantung kepada sentimen, sokongan politik serta spekulasi pelabur.
Encik Trump pada 1 Julai menolak persoalan mengenai jumlah kekayaan yang diperolehnya selepas kembali menjadi presiden, sambil berkata keputusan pelaburan peribadinya diuruskan pihak lain.
“Saya tidak tahu sama ada kerjaya saya lebih baik dalam politik atau perniagaan,” kata Encik Trump sebelum menaiki pesawat, Air Force One, baharu yang dihadiahkan Qatar.
“Tetapi saya mempunyai kerjaya perniagaan yang hebat. Anda sudah lihat wang tunai itu.”
Namun, analisis bebas terhadap urus niaga dan yuran daripada jualan token ‘$TRUMP’ menunjukkan gambaran berbeza bagi pelabur biasa.
Syarikat analitik kripto, Chainalysis, mendapati 58 pelabur memperoleh keuntungan lebih AS$10 juta setiap seorang, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan AS$1.1 bilion.
Kebanyakan mereka adalah pelabur awal yang menjual pegangan sebelum harga token itu menjunam.
Pada masa yang sama, kira-kira 764,000 dompet kripto, kebanyakannya milik pelabur kecil, mencatat kerugian daripada pembelian ‘$TRUMP’.
Walaupun harga token itu merosot, Encik Trump dan rakan perniagaannya tetap mengutip yuran setiap kali ‘$TRUMP’ didagangkan.
Yuran transaksi dan hasil lain daripada token itu dilaporkan menyumbang ratusan juta dolar kepada presiden dan keluarganya.
Bekas pemeriksa Bank Rizab Persekutuan Amerika, Encik Lee Reiners, berkata model perniagaan kripto Encik Trump membolehkan presiden itu menjana keuntungan besar lebih awal, tanpa perlu menanggung risiko sama seperti pelabur kecil.
“Sukar untuk memahami bagaimana Presiden Amerika Syarikat boleh meraih keuntungan peribadi pada tahap seperti ini ketika begitu ramai penyokongnya mengalami kerugian,” kata Encik Reiners, yang kini mengkaji isu kripto di Universiti Duke di North Carolina, Amerika.
“Presiden ini memperoleh lebih banyak wang daripada kripto sejak memegang jawatan berbanding mana-mana tahun sebelumnya dalam seluruh kerjaya perniagaannya.”
Rumah Putih menolak dakwaan bahawa Encik Trump mengeksploitasi penyokongnya.
“Semua tindakan Presiden Trump dan pentadbirannya dibuat demi kepentingan terbaik rakyat Amerika,” kata jurucakap Rumah Putih, Cik Anna Kelly.
“Presiden dan keluarganya tidak pernah, dan tidak akan, terlibat dalam konflik kepentingan.”
Selain ‘$TRUMP’, isteri beliau, Cik Melania Trump, turut memperoleh kira-kira AS$6 juta daripada jualan ‘memecoin’ miliknya, walaupun token itu kurang berjaya berbanding milik suaminya.
Sementara itu, World Liberty Financial, sebuah lagi firma kripto dikaitkan dengan keluarga Encik Trump, turut menjadi sumber pendapatan besar.
Token ‘$WLFI’ yang dikeluarkan syarikat itu kini jatuh lebih 80 peratus daripada paras tertinggi, menyebabkan pelabur yang membeli pada harga tinggi menanggung kerugian besar.
Namun, kemerosotan harga itu tidak banyak menjejas Encik Trump.
Menurut pendedahan syarikat, sebuah entiti Encik Trump menerima 75 peratus daripada semua jualan ‘$WLFI’, membolehkannya meraih keuntungan sebelum harga token jatuh.
Bekas ketua pejabat Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika yang menyiasat penipuan pelaburan dalam talian, Encik John Reed Stark, berkata pelabur kini kurang mendapat perlindungan.
“Saya berasa sedih kerana pelabur ini tidak mendapat perlindungan daripada SEC (Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat),” katanya.
“Ini penipuan lama dalam pasaran sekuriti – skim (manipulasi pasaran) ‘pump-and-dump’ – yang memperkaya segelintir pihak dengan mengorbankan orang ramai.”
Kontroversi itu turut memuncak apabila pentadbiran Encik Trump mengambil langkah yang dilihat menguntungkan sektor kripto.
Pada 2025, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika mengumumkan ‘memecoin’ tidak akan dikawal selia seperti sekuriti.
Encik Trump turut menandatangani undang-undang yang memperluas penggunaan ‘stablecoin’, beberapa bulan selepas World Liberty melancarkan ‘stablecoin’ sendiri.
Encik Trump pula terus menggunakan promosi eksklusif bagi meningkatkan minat terhadap tokennya, termasuk majlis makan malam untuk pembeli terbesar ‘$TRUMP’ di kelab golfnya di Virginia.
Namun, acara serupa di Mar-a-Lago pada 2026 ini kurang mendapat sambutan, dengan harga $TRUMP dilaporkan sekitar AS$2.83, merosot kira-kira 80 peratus berbanding setahun lalu.
Seorang pelabur, Encik Morten Christensen, menyifatkan token itu sebagai “sudah mati”.
“Tiada siapa peduli tentang ‘memecoin’ yang sudah jatuh 97 peratus,” katanya.
Pendedahan kewangan itu juga menunjukkan Encik Trump memperoleh pendapatan besar daripada urus niaga dengan pemerintah asing dan syarikat luar negara, terutama di Timur Tengah, ketika keluarganya kembali aktif dalam perniagaan antarabangsa.
Bagi pengkritik, isu terbesar bukan sekadar keuntungan besar Encik Trump, tetapi kedudukannya sebagai presiden yang pada masa sama boleh mempengaruhi dasar yang memberi kesan langsung kepada industri kripto, teknologi dan pelaburan. – Agensi berita.
