GARDEN CITY (Amerika Syarikat): Presiden Donald Trump mengeluarkan kenyataan akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika Syarikat selepas negara itu menewaskan Iran.

Kenyataan itu dibuat ketika konflik antara kedua-dua negara masih berterusan.

“Selepas kami selesai menewaskan Iran, yang kini mengalami kekalahan teruk – tidak lama lagi saya akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika.

“Ini benar,” katanya sambil ketawa, ketika berucap pada satu perhimpunan politik di sebuah akademi polis di wilayah New York.

Pada 28 Februari lalu, Encik Trump bersama Israel melancarkan perang terhadap Iran dengan matlamat menamatkan program nuklear yang menimbulkan kontroversi negara itu.

Bagaimanapun, Iran bertindak balas dengan mewujudkan kawalan secara praktikal ke atas sebahagian besar Selat Hormuz, laluan penting bagi pengangkutan sejumlah besar tenaga dan komoditi sejagat.

Amerika kini masih berdepan kebuntuan apabila Iran menyekat akses sebahagian besar kapal dagang awam, manakala Tentera Laut Amerika melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran dalam usaha melumpuhkan ekonominya.

“Kami mempunyai sekatan. Tiada kapal boleh melalui pelabuhan Iran ini melainkan kami membenarkannya,” kata Encik Trump kepada penyokong dan anggota polis yang bersorak. – Agensi berita.