Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump rancang sekatan menyeluruh terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa
Trump rancang sekatan menyeluruh terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa
WASHINGTON: Pemerintah Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan sudah menyediakan sekatan terhadap keseluruhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), satu langkah yang boleh menjejaskan operasi harian badan itu dan menyukarkannya menjalankan siasatan kes jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.
Dua sumber yang mengetahui perkara itu memberitahu Reuters bahawa sekatan berkenaan sudah disediakan dan dijangka diumumkan tidak lama lagi, walaupun tarikh tepat belum ditetapkan.
Langkah tersebut akan meningkatkan tekanan Washington terhadap ICC selepas Amerika sebelum ini mengenakan sekatan terhadap beberapa hakim dan pendakwa mahkamah itu secara individu.
Menurut The Wall Street Journal (WSJ), yang memetik pegawai Amerika dan dokumen berkaitan, kebanyakan urus niaga dengan ICC akan dilarang selepas tempoh peralihan antara enam dengan tujuh bulan.
Keputusan itu dilaporkan boleh dimuktamadkan seawal minggu ini ketika pemimpin dunia berkumpul di New York bagi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jika dilaksanakan, sekatan itu boleh menghalang ICC daripada melakukan urus niaga menggunakan dolar Amerika dan seterusnya menyukarkan aksesnya kepada sebahagian besar sistem kewangan antarabangsa.
Ini kerana sekatan terhadap ICC sebagai sebuah institusi akan melarang rakyat dan syarikat Amerika daripada menyediakan dana, barangan atau perkhidmatan kepada mahkamah itu tanpa lesen daripada Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah Jabatan Perbendaharaan Amerika.
Kesannya juga berpotensi melangkaui Amerika kerana bank dan syarikat antarabangsa yang bergantung pada sistem kewangan negara itu mungkin mengehadkan urusan mereka dengan ICC bagi mengelakkan risiko melanggar sekatan Washington.
Antara operasi yang boleh terjejas ialah pembelian perkhidmatan teknologi maklumat dan insurans, pengambilan penyiasat serta urus niaga kewangan harian, termasuk pembayaran gaji kepada puluhan kakitangan warga Amerika.
Presiden dan pendaftar ICC sebelum ini memberi amaran bahawa sekatan terhadap keseluruhan institusi boleh mengganggu operasi asas mahkamah.
Pemerintah Trump mahu ICC menggugurkan waran tangkap terhadap pemimpin Israel, selain membantah siasatan terdahulu mahkamah itu berhubung dakwaan salah laku anggota tentera Amerika di Afghanistan.
Pertikaian dengan ICC meningkat selepas mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu pada November 2024 mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan ketika itu Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant.
ICC mendakwa terdapat alasan munasabah untuk mempercayai mereka bertanggungjawab terhadap beberapa dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan konflik Gaza. Israel menolak dakwaan tersebut dan mempertikaikan bidang kuasa ICC.
Amerika juga bukan anggota ICC dan sejak sekian lama mempertikaikan bidang kuasa mahkamah itu terhadap rakyat Amerika.
Penentangan Encik Trump terhadap ICC bermula sejak penggal pertamanya.
Pada 2020, beliau membenarkan sekatan dan sekatan visa terhadap pegawai ICC susulan siasatan berkaitan Afghanistan.
Selepas kembali memegang jawatan presiden, beliau sekali lagi menggunakan sekatan terhadap pegawai mahkamah yang terlibat dalam siasatan membabitkan Amerika atau sekutunya.
Tekanan Washington dipertingkat pada Julai apabila Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, melancarkan kempen untuk mengasingkan ICC dan menggesa negara lain menarik diri daripada mahkamah tersebut.
Washington setakat ini menyasarkan beberapa hakim dan pendakwa ICC, tetapi belum mengenakan sekatan secara langsung terhadap keseluruhan institusi itu.
Justeru, langkah terbaru yang sedang dipertimbangkan dianggap jauh lebih luas kerana ia bukan sahaja menyasarkan individu, malah berpotensi menjejaskan pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan kepada ICC.
Jabatan Negara Amerika belum memberikan ulasan mengenai laporan terbaru itu.
ICC ditubuhkan berdasarkan Statut Rom, yang diterima pada 1998, dan mula beroperasi pada 2002. Mahkamah itu mempunyai mandat untuk mendakwa individu atas jenayah genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.
Ia bertindak berdasarkan prinsip bahawa mahkamah antarabangsa itu menjadi pelengkap kepada sistem kehakiman negara, termasuk apabila sesebuah negara yang mempunyai bidang kuasa tidak mahu atau tidak mampu menjalankan siasatan dan pendakwaan secara tulen.
Amerika tidak pernah menjadi negara anggota ICC.
Sekatan yang sedang disediakan itu sekali gus menandakan peningkatan ketara dalam pertikaian antara Washington dengan ICC.
Jika dilaksanakan dalam bentuk yang dilaporkan, langkah tersebut bukan sekadar membekukan aset atau mengehadkan perjalanan pegawai tertentu, tetapi boleh menyukarkan mahkamah mendapatkan perkhidmatan kewangan dan komersial yang diperlukan untuk menjalankan operasinya di seluruh dunia. - Agensi berita
