WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 18 September meraikan keputusan menggantung rancangan pengacara terkenal Encik Jimmy Kimmel, sambil menggesa lesen penyiaran televisyen ditarik balik jika terus menyiarkan liputan negatif mengenai pentadbirannya. Kenyataan itu mencetuskan kebimbangan baharu mengenai serangan terhadap kebebasan bersuara di negara itu.
Langkah ini berlaku selepas syarikat penyiaran ABC, yang dimiliki Disney, menggantung rancangan Jimmy Kimmel Live! tanpa tempoh tertentu. Keputusan itu diambil susulan bantahan keras penyokong konservatif terhadap monolog Kimmel pada 15 September lalu, yang menyentuh mengenai pembunuhan aktivis sayap kanan Encik Charlie Kirk di sebuah universiti di Utah pada 10 September.
Encik Kirk, yang dikenali sebagai tokoh konservatif berpengaruh tetapi sering mencetuskan perdebatan, ditembak mati ketika menyampaikan ucapan di hadapan pelajar. Seorang pelajar teknikal berusia 22 tahun kini dituduh atas pembunuhan tersebut.
Encik Trump menyifatkan Encik Kimmel “tidak berbakat” kerana mempersendakan Encik Kirk. “Beliau berkata perkara yang dahsyat tentang seorang lelaki hebat bernama Charlie Kirk,” kata Encik Trump ketika berdiri bersama Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, dalam lawatan negara.
Dalam monolognya, Encik Kimmel berkata sekutu Encik Kirk menggunakan tragedi itu untuk “mengaut keuntungan politik,” sambil mengejek Encik rump yang menjadikan sidang media mengenai Encik Kirk sebagai peluang mempromosikan dewan baru di Rumah Putih. “Ini bukan cara seorang dewasa meratapi pembunuhan sahabat. Ini cara seorang kanak-kanak empat tahun menangisi ikan emasnya,” katanya.
Kira-kira 150 penunjuk perasaan berhimpun di luar studio Hollywood tempat rancangan Encik Kimmel dirakam. Mereka membawa sepanduk bertulis “Jangan Tunduk kepada Trump” dan “Lawan Fasisme”. Seorang penunjuk perasaan, Cik Laura Brenner, berkata: “Apabila orang tidak lagi boleh menyindir pentadbiran, itu tanda kita menuju ke arah yang gelap.”
Bekas Presiden Barack Obama turut mengkritik tindakan ini. “Selepas bertahun-tahun mengecam budaya batal, pentadbiran sekarang membawa ia ke tahap berbahaya dengan ugutan tindakan kawal selia terhadap syarikat media kecuali mereka membungkam pengulas yang tidak disenanginya,” kata Encik Obama.
Encik Kimmel sudah lama menjadi pengkritik Encik Trump, dan presiden itu beberapa kali mengancam untuk membatalkan lesen penyiaran rangkaian yang dianggap tidak adil.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), Encik Brendan Carr, malah mengugut menyiasat komentar Encik Kimmel, manakala syarikat penyiar tempatan Nexstar dan Sinclair Broadcast Group mengumumkan mereka akan menghentikan tayangan rancangan tersebut.
Encik Trump mengulangi ancamannya ketika dalam pesawat Air Force One: “Mungkin lesen mereka patut diambil. Semua yang mereka lakukan hanyalah menyerang Trump.” Namun undang-undang persekutuan jelas melarang FCC daripada menarik lesen semata-mata kerana liputan negatif.
Kesatuan penulis, pelakon dan kumpulan hak asasi termasuk Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) menyifatkan penggantungan Encik Kimmel sebagai “serangan perlembagaan terhadap hak untuk tidak bersetuju.” “Ini adalah cubaan membisukan pengkritik dan mengawal apa yang boleh ditonton serta dibaca rakyat Amerika,” kata ACLU dalam satu kenyataan.
Peminat Encik Kirk pula berdukacita dengan kematian beliau, yang dianggap memperjuangkan nilai konservatif dan debat awam. Tetapi pengkritik mengingatkan bahawa Encik Kirk sering melontarkan komen menghina terhadap pendatang, masyarakat Afrika-Amerika dan komuniti transgender.
Keputusan menggantung rancangan Encik Kimmel dilaporkan dibuat oleh CEO Disney, Bob Iger, dan pengerusi bersama Disney Entertainment, Dana Walden. ABC memiliki lapan stesen televisyen tempatan utama di New York, Los Angeles, Chicago, Houston dan Philadelphia yang tertakluk kepada lesen FCC.
Walaupun tekanan politik semakin hebat, ramai pengulas menegaskan isu ini bukan sekadar tentang seorang pengacara komedi, tetapi tentang masa depan kebebasan bersuara di Amerika.
“Apabila pmerintah mula menekan media dengan ugutan lesen, kita tidak lagi bercakap tentang politik, tetapi tentang demokrasi itu sendiri,” kata seorang profesor undang-undang di Universiti Georgetown. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg