WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyambut pengunduran anggota terakhir tentera negaranya dari Iraq selepas misi selama 12 tahun menentang ISIS.

Beliau turut menyifatkan penglibatan itu sebagai pengalaman yang menelan kos tinggi, penuh tekanan dan amat tidak menyenangkan.

Tentera Amerika mengumumkan pada 30 September bahawa semua anggotanya yang terbabit dalam misi menentang ISIS sudah meninggalkan Iraq.

Ia sekali gus menamatkan operasi ketenteraan yang bermula pada 2014 selepas kumpulan militan itu menguasai sebahagian besar wilayah Iraq dan Syria.

Ini mengikut perjanjian antara Washington dengan Baghdad untuk menyelesaikan pengunduran menjelang 30 September.

Encik Trump, dalam hantaran di media sosial, menyifatkan proses pengunduran itu sebagai teratur dan berkata ia menamatkan apa yang disifatkannya sebagai satu penglibatan ketenteraan yang panjang dan mahal bagi Amerika.

Beliau kemudian mengulas mengenai perkara itu ketika menghadiri satu acara di Rumah Putih, dengan mengkritik keputusan terdahulu yang membawa Amerika terbabit dalam konflik Iraq.

“Sudah terlalu lama, dengan keputusan yang sangat buruk menyebabkan kita terlibat dalam kemelut ini sejak awal.

“Ia satu kemelut. Ia berlarutan selama bertahun-tahun. Tetapi tidak lama lagi, bahagian sejarah itu akan berakhir,” kata Encik Trump.

Encik Trump turut menyifatkan pengunduran itu sebagai kemenangan bagi Amerika dan Iraq serta mencerminkan kejayaan usaha menewaskan ISIS.

Pengunduran itu menutup satu lagi fasa panjang penglibatan ketenteraan Amerika di Iraq yang bermula lebih dua dekad lalu.

Tentera pimpinan Amerika menyerang Iraq pada 2003 dan menggulingkan Presiden Saddam Hussein.

Pada kemuncak operasi pada 2007, sekitar 170,000 anggota tentera Amerika ditempatkan di negara itu.

Tentera Amerika kemudian berundur pada 2011, tetapi kembali ke Iraq pada 2014 atas permintaan Baghdad, selepas ISIS mara pantas dan menawan banyak kawasan, termasuk bandar Mosul.

Kemaraan kumpulan itu membawa kepada pembentukan gabungan antarabangsa pimpinan Amerika dan pelancaran ‘Operasi Inherent Resolve’, untuk membantu pasukan Iraq memerangi ISIS.

ISIS kehilangan penguasaan wilayahnya di Iraq pada 2017, sebelum peranan tentera Amerika secara beransur-ansur beralih daripada operasi tempur kepada latihan, khidmat nasihat dan sokongan kepada pasukan keselamatan Iraq.

Washington dan Baghdad kemudian mencapai persetujuan pada 2024 untuk menamatkan misi gabungan itu secara berperingkat.

Jurucakap Pentagon, Encik Sean Parnell, berkata anggota dan peralatan tentera Amerika serta pasukan gabungan yang masih berada di Erbil sudah melaksanakan “pengunduran secara teratur”.

“Pencapaian ini mencerminkan kejayaan kempen yang berlangsung selama 12 tahun, menewaskan ISIS di Iraq dan seluruh rantau ini,” katanya.

Menurut beliau, pengunduran itu turut menandakan peralihan daripada misi gabungan ketika perang, kepada usaha keselamatan yang diterajui Iraq, dengan sokongan hubungan keselamatan dua hala yang lebih konvensional bersama Amerika.

Namun, berakhirnya misi ketenteraan itu tidak bermakna Washington memutuskan kerjasama keselamatan dengan Baghdad.

Pentagon berkata Amerika akan terus menyediakan latihan dan sokongan risikan yang disasarkan kepada pasukan Iraq bagi membantu mereka menangani saki-baki ISIS.

Tanggungjawab utama untuk menangani cabaran keselamatan dalam negara itu, termasuk ancaman sel-sel kecil ISIS yang masih aktif serta kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Iran, kini terletak pada pemerintah Iraq.

Baghdad pula menyifatkan pengunduran itu sebagai permulaan fasa baharu bagi negara tersebut selepas berdekad-dekad berdepan peperangan, campur tangan asing dan ketidakstabilan.

Perdana Menteri Iraq, Encik Ali al-Zaidi, yang mengetuai upacara penyerahan pangkalan, berkata pengunduran itu mencerminkan peningkatan keupayaan pasukan keselamatan negara berkenaan.

Beliau menyifatkannya sebagai permulaan “fasa baharu” yang ditentukan oleh kedaulatan Iraq, kekuatan institusinya, kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan hubungan seimbang dengan rakan negara.

Bagaimanapun, pengunduran Amerika meninggalkan beberapa persoalan keselamatan yang belum selesai.

Antaranya adalah sama ada pasukan Iraq mampu memastikan ISIS tidak kembali membina kekuatan serta bagaimana Baghdad akan menangani kumpulan bersenjata yang beroperasi di luar kawalan penuh pemerintah.

Kebimbangan lebih ketara di wilayah Kurdistan, tempat beberapa ratus anggota terakhir tentera Amerika ditempatkan sebelum pengunduran.

Pegawai Kurdish bimbang mengenai kehilangan perlindungan pertahanan udara Amerika ketika wilayah itu berdepan ancaman serangan dron dan peluru berpandu dalam konflik serantau.

Pada masa yang sama, kumpulan bersenjata pro-Iran menyambut pengunduran Amerika sebagai kemenangan dan langkah ke arah apa yang mereka sifatkan sebagai pemulihan kedaulatan penuh Iraq.

Namun, usaha pemerintah Iraq melucutkan senjata kumpulan bukan negara masih belum mencapai kemajuan besar.

Baghdad sebelum ini mengaitkan tarikh akhir pengunduran tentera Amerika pada 30 September dengan usaha memastikan senjata berada di bawah kawalan negara.

Sebahagian kumpulan kecil bersetuju menyerahkan senjata, tetapi beberapa kumpulan lebih berpengaruh yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran menolak langkah tersebut atau mengenakan syarat untuk berbuat demikian.

Tarikh akhir usaha pelucutan senjata itu kini dilanjutkan sehingga Jun 2027.

Bagi Encik Trump, pengunduran terakhir tentera Amerika dari Iraq menutup satu bab yang menurutnya terlalu panjang dan mahal.

Namun bagi Iraq, berakhirnya misi Amerika membuka fasa yang sama penting – membuktikan bahawa pasukan keselamatannya mampu membendung saki-baki ISIS dan mengekalkan kestabilan negara tanpa kehadiran tentera Amerika. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti