Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump sedia laksana tarif baharu selepas levi global 10 peratus tamat
Trump sedia laksana tarif baharu selepas levi global 10 peratus tamat
Trump sedia laksana tarif baharu selepas levi global 10 peratus tamat
WASHINGTON: Amerika Syarikat dijangka mengenakan tarif import baharu ke atas puluhan negara dalam masa terdekat apabila tempoh tarif sementara yang diperkenalkan Presiden Donald Trump bakal tamat minggu ini.
Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Encik Jamieson Greer, berkata pentadbiran Trump dijangka mengumumkan langkah baharu itu tidak lama lagi, namun tidak menyatakan tarikh pelaksanaannya.
“Kami menjangkakan akan ada tindakan tidak lama lagi,” katanya dalam wawancara bersama CNBC pada 21 Julai.
Menurut beliau, tarif baharu itu akan dikenakan ke atas kira-kira 60 rakan dagang yang didakwa gagal mengambil tindakan mencukupi bagi membendung penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka.
Pentadbiran Trump dilaporkan merancang mengenakan tarif antara 10 hingga 12.5 peratus bagi menggantikan tarif sementara sebanyak 10 peratus yang diperkenalkan tahun 2026.
Tarif sementara itu dijadual berakhir pada Jumaat ini selepas sebahagian dasar tarif Trump sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Februari lalu.
Langkah terbaharu itu dilihat sebagai usaha Encik Trump menghidupkan semula agenda perdagangan beliau dengan menggunakan tarif sebagai tekanan terhadap rakan dagang Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, tindakan itu dijangka mencetuskan tindak balas balas serta meningkatkan ketegangan perdagangan dengan beberapa negara.
Encik Greer berkata, tarif berkaitan buruh paksa itu akan meliputi sebahagian besar import Amerika Syarikat.
Negara seperti Canada, Kesatuan Eropah (EU), Mexico, Taiwan dan United Kingdom dijangka dikenakan tarif 10 peratus selepas dinilai telah mengambil langkah menangani isu buruh paksa.
Sementara itu, lebih 40 negara lain termasuk China, India dan Jepun bakal dikenakan tarif lebih tinggi, iaitu 12.5 peratus.
EU sebelum ini menyifatkan penggunaan tarif atas alasan buruh paksa sebagai tindakan yang “tidak berasas”.
Pada masa sama, Encik Trump turut meningkatkan tekanan terhadap Canada.
Pentadbiran Amerika Syarikat minggu ini mengumumkan tarif 50 peratus ke atas pelbagai produk dari Kanada yang akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari.
Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, berkata negaranya sedang meneliti semua pilihan yang ada bagi menghadapi langkah tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju memperhebat rundingan dalam beberapa minggu akan datang bagi mencari penyelesaian terhadap pertikaian perdagangan yang semakin memuncak.
Perkembangan itu berlaku ketika Amerika Syarikat dan Mexico mempergiat rundingan mengenai semakan semula Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Encik Greer dijadual mengadakan lawatan ke Mexico dari 23 hingga 25 Julai bagi menghadiri rundingan berhubung perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, rundingan dengan Canada dilihat bergerak lebih perlahan.
Pakar undang-undang perdagangan berpendapat pentadbiran Trump menggunakan Seksyen 338 Akta Tarif 1930 sebagai alat tekanan bagi memaksa Kanada mencapai persetujuan baharu dalam rundingan USMCA.
Peguam perdagangan dari firma Dorsey & Whitney, Encik Dave Townsend, berkata tarif yang lebih tinggi itu mungkin bertujuan memaksa Kanada mencapai perjanjian dengan Amerika Syarikat atau sebagai tindak balas kerana kegagalan mencapai persetujuan.
“Persoalannya ialah sama ada kedua-dua negara akan memasuki kitaran tindakan balas yang semakin meningkat,” katanya.
Berbeza dengan beberapa tarif terdahulu, produk Canada yang memasuki pasaran Amerika Syarikat di bawah USMCA juga tidak akan dikecualikan daripada tarif baharu itu.
Encik Trump turut menafikan dakwaan bahawa tarif tersebut berkaitan ancaman beliau sebelum ini berhubung asap kebakaran hutan dari Canada yang menjejaskan beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan lain, Encik Trump mengumumkan tarif sektor sebanyak 100 peratus ke atas ubat generik import yang akan mula berkuat kuasa pada Ogos 2028, sebelum meningkat kepada 200 peratus pada 2029.
Namun, beliau berkata tarif ke atas ubat generik akan dikurangkan kepada sifar mulai Ogos 2026 bagi memberi peluang kepada syarikat farmaseutikal memindahkan pengeluaran mereka ke Amerika Syarikat.
Sementara itu, rancangan Amerika Syarikat mengenakan tarif 25 peratus ke atas beberapa barangan dari Brazil turut mendapat bantahan keras daripada negara Amerika Latin itu.
Tarif yang dijadual berkuat kuasa pada Rabu itu dikenakan atas dakwaan amalan perdagangan yang tidak adil.
Bagaimanapun, beberapa produk seperti daging lembu, kopi dan komponen tertentu pesawat dikecualikan daripada tarif tersebut, begitu juga barangan yang tidak dihasilkan di Amerika Syarikat.
Dewan Perniagaan Amerika di Brazil memberi amaran bahawa langkah itu akan meletakkan Brazil antara negara yang berdepan syarat akses paling ketat ke pasaran Amerika Syarikat, sekali gus menjejaskan eksport bernilai lebih AS$11 bilion (S$14.1 bilion). - Agensi berita
