Topik diikuti
Pergi ke BHkuSepertiga eksport S’pura ke AS bakal dikenakan duti 12.5%
Sepertiga eksport S’pura ke AS bakal dikenakan duti 12.5%
MTI sedang menilai kesan tarif baru yang dicadangkan susulan siasatan berhubung barangan buruh paksa
Sepertiga eksport S’pura ke AS bakal dikenakan duti 12.5%
Lebih kurang satu pertiga daripada eksport domestik Singapura ke Amerika Syarikat berdepan duti 12.5 peratus susulan cadangan tarif baru berkaitan “barangan buruh paksa” berkuat kuasa, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Bagaimanapun, pengecualian akan diberikan kepada sektor utama merangkumi tenaga, farmaseutikal, elektronik, aeroangkasa, serta semikonduktor dan logam berharga, tambah jurucakap MTI.
Tarif baru yang dibentangkan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) itu dicadangkan pada 2 Jun selepas siasatannya mendapati beberapa negara, termasuk Singapura, gagal mengenakan dan menguatkuasakan larangan import barangan yang dihasilkan dengan buruh paksa secara berkesan.
MTI berkata: “Singapura tidak membenarkan penggunaan (hasil) buruh paksa dalam rantaian bekalan dan mempunyai rangka kerja yang komprehensif untuk menguatkuasakan terhadap amalan haram sedemikian di sempadan kami.
“Tiada juga bukti peranan Singapura dalam rantaian bekalan barangan yang terkait dengan buruh paksa. Buruh paksa adalah isu transnasional yang memerlukan kerjasama antarabangsa.”
Menurut jurucakap MTI, pendirian ini telah disampaikan kepada USTR semasa rundingan dua hala.
Pihaknya kini sedang menilai kesan cadangan tersebut terhadap eksport Singapura ke Amerika Syarikat, sambil terus berunding secara konstruktif dengan agensi berkenaan.
Jurucakap itu menambah bahawa Singapura dan 15 ekonomi lain turut disiasat oleh USTR di bawah Seksyen 301 mengenai amalan kapasiti berlebihan dan struktur sektor perkilangan.
Butiran mengenai penemuan, tindakan yang dicadangkan, serta kadar tarif muktamad bagi negara-negara terlibat masih belum diumumkan.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha AS mengetatkan tarif susulan keputusan Mahkamah Agung pada Februari yang membatalkan asas undang-undang tarif timbal balik khas Presiden Donald Trump tahun 2025.
Tarif baru yang dicadangkan ini akan menggantikan levi sejagat sebanyak 10 peratus di bawah Seksyen 122 – yang dikenakan sejurus selepas keputusan mahkamah dibuat – apabila ia tamat pada akhir Julai.
Kadar tarif bagi isu buruh paksa pula hanya akan dikuatkuasakan selepas proses perbincangan umum dan sesi pendengaran oleh panel perdagangan USTR bermula Julai ini, yang mungkin memakan masa berbulan-bulan.
Memetik laporan The Straits Times, para pakar percaya pentadbiran Presiden Trump menggunakan Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 sebagai sandaran undang-undang kerana ia tiada tarikh luput atau had peratusan maksimum.
Secara sejarah, tindakan bawah statut ini sukar dicabar di mahkamah.
Namun, penggunaan undang-undang ini untuk mengenakan tarif universal terhadap banyak negara dilihat sebagai manipulasi teknikal yang melangkaui niat asal Kongres.
