Membenarkan mana-mana pihak menyekat laluan air antarabangsa secara haram akan mewujudkan preseden yang berbahaya, dan laluan maritim lain boleh turut menjadi sasaran, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. 

Singapura amat prihatin dengan perkara itu kerana negara ini terletak di sepanjang Selat Melaka dan Selat Singapura, antara laluan maritim tersibuk di dunia, kata Encik Wong kepada pemimpin dunia dalam mesyuarat mengenai Selat Hormuz yang diadakan pada 17 April, anjuran Perancis dan Britain. 

Oleh itu dunia tidak mampu untuk menuruti pilihan tersebut, tegasnya.

“Jika kita berbuat demikian, dunia akan lebih huru-hara dan tidak stabil. Dunia yang diperintah oleh paksaan dan kekerasan dan bukannya peraturan,” katanya.

Sambil menyatakan bahawa hak laluan transit termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut  (UNCLOS), Encik Wong berkata adalah dalam kepentingan bersama masyarakat antarabangsa untuk menegakkan hak dan kebebasan navigasi, serta memastikan laluan laut yang kritikal kekal terbuka, selamat dan boleh diakses oleh semua.

Singapura sedar bahawa gencatan senjata semasa adalah rapuh dan terus menggesa semua pihak untuk berusaha ke arah penyelesaian yang berkekalan, tambahnya. 

Gencatan senjata antara Amerika dengan Iran yang dibantu oleh Pakistan pada 8 April dijangka tamat pada 22 April. Kemungkinan pusingan rundingan baru sedang dibincangkan.

Encik Wong berkata, seperti yang dinyatakan oleh ramai pemimpin lain, konflik itu tidak boleh dianggap benar-benar berakhir selagi Selat Hormuz kekal tertutup atau tertakluk kepada kawalan sewenang-wenangnya.

Iran telah menyekat selat itu sejak konflik tercetus pada penghujung Februari. Pada 13 April, Amerika memulakan sekatannya sendiri ke atas pelabuhan Iran dan menghalang kapal-kapal yang cuba melintas selat tersebut.

“Pemulihan laluan yang selamat, dapat diramalkan dan tidak terhalang melalui Selat Hormuz mesti seiring dengan usaha untuk menamatkan perang,” katanya.

Dalam hantaran Facebook selepas mesyuarat, Encik Wong menyatakan bahawa setiap negara yang hadir, walaupun mereka yang tidak mempunyai sempadan laut, mengiktiraf kepentingan kritikal menegakkan undang-undang antarabangsa di selat itu.

Menurut nota yang dihantar kepada negara-negara yang dijemput, mesyuarat itu bertujuan untuk menegaskan semula sokongan penuh bagi kebebasan laluan melalui Selat Hormuz, menangani cabaran ekonomi industri perkapalan, serta memastikan keselamatan lebih 20,000 pelaut dan kapal komersial yang terkandas. 

Mesyuarat itu juga membincangkan persediaan untuk menghantar misi ketenteraan pelbagai negara yang bersifat defensif bagi memastikan laluan bebas melalui selat itu sebaik sahaja pertempuran berakhir. 

Tugas utama misi itu termasuk pembersihan ranjau laut dan memastikan tiada tol dikenakan ke atas kapal yang melalui selat tersebut. 

Encik Wong menghadiri mesyuarat itu melalui sidang video, manakala Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, dan pemimpin dunia lain seperti Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz dan Perdana Menteri Itali Cik Giorgia Meloni hadir secara bersemuka di Paris.

Sekitar 30 ketua negara dan pemerintah lain turut menyertai melalui sidang video.

Encik Wong berkata Singapura sentiasa menyokong usaha untuk memastikan laluan laut yang kritikal kekal terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan bagi memulihkan Selat Hormuz yang bebas dan terbuka, selaras dengan undang-undang antarabangsa. “Itu bermakna tiada tol, tiada sekatan, dan kembali kepada keadaan sebelum perang.”