Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump pilih besan sebagai penasihat Timur Tengah

Dec 2, 2024 | 1:28 PM
Encik Massad Boulos, seorang ahli perniagaan Amerika-Lebanon dinamakan sebagai penasihat kanan hal ehwal Arab dan Timur Tengah
Encik Massad Boulos, seorang ahli perniagaan Amerika-Lebanon dinamakan sebagai penasihat kanan hal ehwal Arab dan Timur Tengah - Foto INSTAGRAM DR.MBOULOS

WEST PALM BEACH (Amerika Syarikat): Bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 1 Disember telah menamakan Encik Massad Boulos, seorang ahli perniagaan Amerika-Lebanon yang merupakan bapa mentua kepada anak perempuan Encik Trump, Cik Tiffany, sebagai penasihat kanan hal ehwal Arab dan Timur Tengah.

Encik Boulos memainkan peranan dalam kempen Encik Trump untuk mendekati masyarakat Arab Amerika di Michigan, menganjurkan berpuluh-puluh mesyuarat di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Arab Amerika yang marah berikutan sokongan Presiden Joe Biden terhadap serangan Israel di Gaza dan Lebanon.

Encik Trump memenangi bandar Dearborn Heights, kawasan majoriti Arab Amerika di Michigan dan negeri-negeri penentu keputusan pilihan raya.

“Beliau telah lama menjadi penyokong Republikan dan Konservatif, aset kepada kempen saya dan memainkan peranan penting dalam membina gabungan baru yang hebat dengan masyarakat Arab Amerika,” kata Encik Trump dalam hantaran di laman Truth Social.

Encik Trump dan Encik Boulos berkata bakal presiden Amerika itu akan membawa keamanan di Timur Tengah, tetapi kedua-duanya tidak menawarkan butiran konkrit secara terbuka mengenai rancangan Encik Trump untuk rantau itu.

Encik Boulos sebelum ini telah memegang jawatan di Lebanon dan mempunyai hubungan lama dengan tokoh politik di negara itu.

Pilihan lain Encik Trump untuk jawatan keselamatan negara yang penting ialah penyokong tegar Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sekutu Encik Trump.

Encik Mike Huckabee, pilihan Encik Trump sebagai duta ke Israel, secara konsisten menolak negara Palestin di wilayah yang dirampas oleh Israel.

Pilihan Encik Trump untuk jawatan Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, menyokong membina semula kuil Yahudi di tapak Masjid Al-Aqsa.

Encik Boulos membantu memanfaatkan perselisihan dalam kalangan Demokrat berhubung sokongan terhadap serangan Israel ke atas Gaza yang telah membunuh lebih 44,000 rakyat Palestin sejak serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Serangan Hamas itu telah membunuh lebih 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg