Trump siarkan klip perkauman Obama dan isteri di media sosial
Trump siarkan klip perkauman Obama dan isteri di media sosial
Hantaran dipadamkan, Rumah Putih berkata kesilapan kakitangan
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump berkongsi catatan video perkauman yang menggambarkan mantan Presiden, Encik Barack Obama, dan isterinya Cik Michelle Obama, seumpama beruk sebelum segera memadamnya.
Hantaran tersebut telah mencetuskan kemarahan di seluruh spektrum politik Amerika pada 6 Februari.
Rumah Putih pada mulanya menolak “kemarahan palsu” mengenai video yang dikongsi di akaun Truth Social Encik Trump lewat malam 5 Februari, tetapi kemudian menyalahkan hantaran itu atas kesilapan seorang kakitangan.
Demokrat telah mengecam Encik Trump bersabit catatan “keji” mengenai Encik Obama – presiden kulit hitam pertama dan wanita pertama dalam sejarah Amerika.
Seorang senator kanan Republikan juga menyatakan video itu terang-terangan bersifat perkauman.
Menjelang akhir video sepanjang seminit yang mempromosikan konspirasi mengenai kekalahan pilihan raya Encik Trump pada 2020 kepada Encik Joe Biden, Encik Obama dan isterinya dipaparkan seumpama beruk selama kira-kira satu saat.
Lagu The Lion Sleeps Tonight dimainkan di latar belakang apabila Encik Obama muncul dalam hantaran berkenaan.
Video itu, yang dimuat naik pada 11.44 malam pada 5 Februari (12.45 tengah hari pada 6 Februari di Singapura) di tengah-tengah beberapa catatan lain, mengulangi dakwaan palsu bahawa syarikat pengiraan undi Dominion Voting Systems telah membantu merampas keputusan pilihan raya daripada Encik Trump.
Pada mulanya, setiausaha akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, memperkecilkan perbalahan itu, dengan berkata imej itu adalah “daripada video meme Internet yang menggambarkan Presiden Trump sebagai Raja Rimba dan Demokrat sebagai watak daripada Raja Singa”.
“Tolong hentikan kemarahan palsu itu dan laporkan sesuatu yang benar-benar penting kepada rakyat Amerika,” kata Cik Leavitt dalam satu kenyataan.
Tetapi tepat 12 jam selepas catatan itu muncul, terdapat konsesi luar biasa daripada pentadbiran yang biasanya enggan mengakui kesilapan paling kecil.
“Seorang kakitangan Rumah Putih telah tersilap membuat catatan itu. Ia telah dipadamkan,” kata seorang pegawai Rumah Putih.
Tiada komen segera daripada keluarga Encik Obama.
Mantain naib presiden, Cik Kamala Harris, yang telah lama mengutuk retorik perkauman Encik Trump, turut mengecam tindakan Rumah Putih itu dalam satu catatan di X pada 6 Februari.
“Tiada siapa yang mempercayai perselindungan Rumah Putih tersebut, terutamanya kerana mereka pada asalnya mempertahankan catatan ini.
“Kami semua tahu siapa Donald Trump dan apa yang dia percayai,” tulisnya.
Meskipun, Demokrat telah menyerang catatan itu, kemarahan beberapa anggota parti Republikan Encik Trump sendiri telah mencetuskan perubahan itu.
Encik Tim Scott, satu-satunya senator Republikan berkulit hitam dan calon presiden 2024, menyifatkan video itu sebagai “perkara paling perkauman yang pernah saya lihat dari Rumah Putih”.
Encik Roger Wicker, seorang lagi senator Republikan, berkata catatan itu “sama sekali tidak boleh diterima. Presiden harus menarik balik dan memohon maaf”.
Anggota parti Demokrat tertinggi di Dewan Perwakilan, Encik Hakeem Jeffries, menggelarkan perbuatan Encik Trump sebagai “keji, tidak waras dan berbahaya” dan menggesa anggota Republikan supaya “segera mengecam ketaasuban Encik Trump yang menjijikkan”. – AFP.

