KYIV: Ukraine dikatakan telah bersetuju dengan syarat perjanjian bahan mineral dengan Amerika Syarikat dan dijangka menandatanganinya pada 28 Februari, kata seorang pegawai Ukraine, dalam satu langkah yang Kyiv harap akan membentuk asas jaminan keselamatan masa depan daripada Washington.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebagai sebahagian peralihan dasar dramatik termasuk menjalin hubungan dengan Russia, telah menuntut Ukraine memberikan akses kepada mineral nadir buminya untuk mengimbangi berbilion dolar bantuan semasa perang yang diterimanya di bawah pentadbiran mantan Presiden, Encik Joe Biden.
Perjanjian itu akan menyaksikan Amerika bersama-sama membangunkan kekayaan mineral Ukraine, dengan pendapatan disalurkan kepada dana “bersama bagi Ukraine dan Amerika” yang baru diwujudkan, kata sumber kanan Ukraine yang tidak mahu namanya disiarkan pada lewat 25 Februari.
Sumber itu berkata draf perjanjian itu termasuk rujukan kepada “keselamatan”, tetapi tidak menyatakan secara jelas komitmen Amerika – salah satu tuntutan awal Kyiv untuk memeterai perjanjian tersebut.
“Terdapat klausa umum yang menyatakan Amerika akan melabur dalam Ukraine yang berdaulat, stabil dan makmur.
“Ia berfungsi untuk mencapai keamanan berkekalan dan Amerika menyokong usaha untuk menjamin keselamatan.
“Sekarang, pegawai pemerintah sedang mengusahakan butirannya,” kata sumber itu.
Sumber Ukraine menambah, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, dijangka menandatangani perjanjian itu dalam lawatannya ke Washington seawal 28 Februari – jadual lawatan yang telah disahkan Encik Trump.
“Saya dengar itu. Saya dengar beliau akan datang pada hari tersebut.
“Beliau ingin menandatanganinya bersama saya, dan saya faham ia adalah masalah besar, perkara yang sangat besar,” kata Encik Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
Encik Zelensky sebelum ini menolak permintaan Encik Trump untuk mendapatkan bekalan mineral berharga AS$500 bilion ($669 bilion) yang boleh digunakan dalam industri aeroangkasa, kenderaan elektrik dan teknologi lain – melebihi angka rasmi AS$60 bilion bantuan ketenteraan Amerika kepada Ukraine sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022.
Sumber itu berkata Washington telah memotong klausa tersebut, serta klausa lain yang tentunya tidak menguntungkan Ukraine.
“Mereka melupuskan semua klausa yang tidak sesuai dengan kami,” kata sumber Ukraine itu.
Encik Trump berkata perjanjian yang bakal dimeterai itu boleh mencecah trilion dolar.
Tetapi beliau tidak menjawab secara langsung apabila ditanya apakah yang akan diterima oleh Ukraine sebagai balasan, dan sebaliknya merujuk kepada penghantaran senjata Amerika ke negara itu pada masa lalu.
“Biden membuang wang seperti gula-gula kapas. Kami mahu mendapatkan wang itu kembali,” tegas Encik Trump.
Ukraine berharap perjanjian mineral itu akan membantu meningkatkan hubungan dengan pentadbiran baru Amerika.
Encik Trump telah menukar dasar luar Amerika sejak memegang jawatan pada Januari 2025, membuka dialog dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, sambil membuat ancaman terhadap sekutu tradisional Washington.
Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 Februari, Amerika memihak kepada Russia dan bukannya sekutu Eropahnya, menolak ketetapan yang menggesa perang ditamatkan tanpa mengecam pencerobohan Moscow ke atas Ukraine tiga tahun lalu atau menegaskan integriti wilayah Ukraine. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg