WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menandatangani perintah pada 18 Disember yang mengarahkan peraturan persekutuan mengenai ganja dilonggarkan – satu langkah yang membalikkan dasar ketat terhadap dadah jenis itu selama beberapa dekad.
Perintahnya mengarahkan Peguam Negara agar segera mengklasifikasikan semula ganja.
Jika itu berlaku, tumbuhan psikoaktif itu akan disenaraikan bersama ubat penahan sakit biasa, ketamin dan testosteron sebagai dadah yang kurang berbahaya.
Keputusan sedemikian merupakan perubahan persekutuan paling ketara terhadap dasar ganja dalam beberapa dekad.
Ia boleh membentuk semula industri ganja, membuka berbilion dolar dalam pembiayaan penyelidikan dan membuka pintu yang telah lama tertutup kepada bank dan pelabur.
Ketua Demokrat di Senat, Encik Chuck Schumer, mengalu-alukan langkah itu, manakala berpuluh-puluh penggubal undang-undang dalam Parti Republikan Encik Trump sendiri, mengecam keputusan tersebut.
Namun, ganja masih kekal haram di peringkat persekutuan dan tertakluk kepada pelbagai undang-undang tempatan di seluruh negara, kata Encik Trump.
Beberapa pakar industri berkata tindakan Kongres masih diperlukan untuk mewujudkan peraturan yang lebih stabil.
“Saya ada terima rayuan daripada orang yang menderita beberapa dekad agar saya melakukan ini,” kata Encik Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
Namun pemimpin yang tidak minum alkohol itu juga berkata bahan terkawal adalah berisiko dan tidak menarik minatnya.
“Saya tidak akan mengambilnya. Tetapi ramai orang mahukannya. Ramai orang memerlukannya,” tambah beliau.
Pegawai kanan pentadbiran berkata tujuan utama perintah itu adalah untuk meningkatkan penyelidikan perubatan mengenai ganja dan produk berkaitan untuk memahami risiko dan potensi rawatannya.
Pusat Perkhidmatan Medicare dan Medicaid merancang untuk membenarkan sesetengah penerima manfaat menggunakan produk berkaitan dengan ganja, Cannabidiol atau dikenali sebagai CBD, seawal April.
Berpuluh-puluh anggota Republikan di Dewan Perwakilan dan Senat menulis surat kepada Encik Trump pada 18 Disember, merayu agar beliau tidak menandatangani perintah itu.
“Mengklasifikasikan semula ganja sebagai dadah Jadual III akan menghantar mesej yang salah kepada kanak-kanak Amerika, membolehkan kartel dadah dan menjadikan negara kita lebih berbahaya,” kata mereka.
Ganja adalah dadah yang paling banyak digunakan di dunia dan di Amerika.
Hampir seorang daripada lima penduduk Amerika menggunakannya setiap tahun, berdasarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika.
Berjuta-juta rakyat Amerika ditangkap kerana memiliki dadah tersebut, walaupun perniagaan yang disenaraikan di bursa saham menjual produk berkaitan ganja semakin berkembang.
Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah perlu menyemak semula cadangan menyenaraikan ganja sebagai dadah Jadual III di bawah Akta Bahan Kawalan Amerika dan akan memutuskan klasifikasi semula.
Isu itu telah tersekat dalam proses birokrasi di agensi tersebut.
Di bawah akta tersebut, ganja disenaraikan sebagai bahan Jadual I seperti heroin, Ecstasy dan peyote.
Pengelasan itu menunjukkan ia mempunyai potensi tinggi untuk penyalahgunaan dan tiada penggunaan perubatan yang diterima pada masa ini.
Dadah Jadual III dilihat kurang menimbulkan ketagihan dan mempunyai faedah perubatan yang sah.
Walaupun di bawah pengelasan semula, ganja masih akan dianggap sebagai bahan terkawal di peringkat persekutuan dan penggunaannya tertakluk kepada sekatan ketat dan hukuman jenayah.
Terdapat pelbagai undang-undang di peringkat tempatan, dari negeri yang membenarkan penggunaan dan pemilikannya kepada negeri yang mengharamkannya.
Sejak California pertama kali membenarkan penggunaan ganja sebagai ubat pada 1996, ia telah menyebabkan peralihan kepada melonggarkan peraturan. – Reuters.
“
“Mengklasifikasikan semula ganja sebagai dadah Jadual III akan menghantar mesej yang salah kepada kanak-kanak Amerika, membolehkan kartel dadah dan menjadikan negara kita lebih berbahaya.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg