Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kastam patahkan cubaan seludup ganja RM98j

Oct 9, 2025 | 3:25 PM
ganja, seludup, Malaysia
Lima lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. - Foto hiasan

SEPANG (Selangor): Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatat kejayaan besar apabila menumpaskan empat cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja seberat lebih 1,000 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM98 juta ($30 juta) dalam siri operasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Pengarah Kastam (Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kuala Lumpur, Encik Zulkifli Muhammad, berkata kejayaan itu hasil tindakan pantas dan kerjasama erat antara Bahagian Penguatkuasaan JKDM dengan beberapa agensi keselamatan lain termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Tambahnya, lima lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Empat kes ini membabitkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja ke luar negara, terutama ke pasaran Eropah, menggunakan taktik termasuk penyamaran sebagai barangan dagangan,” katanya pada sidang media pada 9 Oktober.

Encik Zulkifli berkata dalam kes pertama pada 1 Oktober, seorang lelaki warga tempatan berusia 60-an tahun ditahan di KLIA Terminal 1 selepas disenarai hitam kerana tunggakan duti dan cukai.

Pemeriksaan bagasinya menemukan 21.04kg bunga ganja bernilai kira-kira RM2.06 juta, lapor Berita Harian Malaysia.

Bagi kes kedua, rampasan dilakukan pada 27 September di pintu masuk eksport apabila pasukan penguat kuasa mengesan 21 bungkusan dadah seberat 220.32kg bernilai RM21.59 juta dalam lori kurier yang hendak memasuki Zon Bebas KLIA untuk dieksport ke sebuah negara Eropah.

Sementara itu, dalam kes ketiga yang dilaksanakan pada 29 dan 30 September, serbuan di dua gudang logistik di Shah Alam dan Subang Jaya menemui 52 kotak bungkusan dadah daripada empat konsainan berbeza, dengan berat keseluruhan 464.58kg dan nilai dianggarkan RM45.53 juta.

Kes keempat pula menyaksikan rampasan 294.35kg bunga ganja bernilai RM28.85 juta di pintu masuk eksport Zon Bebas KLIA pada 3 Oktober, turut menggunakan lori kurier untuk membawa keluar 28 bungkusan dagangan ke luar negara.

Encik Zulkifli berkata bagi kes kedua hingga keempat, modus operandi sindiket ialah dengan menyembunyikan dadah di dalam kotak berlabel jenama tuala premium dan membungkusnya dengan plastik kedap udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tambahnya, seramai empat lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun membabitkan pemandu lori kurier dan pemilik gudang logistik ditahan bagi membantu siasatan dalam kes kedua, ketiga dan keempat.

“Kesemua rampasan ini menunjukkan masih ada pihak yang cuba mempergunakan kemudahan logistik dan kurier antarabangsa untuk tujuan penyeludupan.

“JKDM tidak akan berkompromi dan akan terus memperkukuh kawalan di semua pintu masuk utama negara,” tegasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg