WASHINGTON: Pemerintah persekutuan Amerika Syarikat dibuka semula pada malam 12 November selepas Presiden Donald Trump menandatangani rang undang-undang perbelanjaan yang diluluskan dengan majoriti tipis di Dewan Perwakilan, sekali gus menamatkan penutupan terpanjang dalam sejarah negara itu.
“Dengan tandatangan saya, pemerintah persekutuan kini akan beroperasi seperti biasa,” kata Encik Trump ketika menandatangani undang-undang tersebut bersama kepimpinan Republikan dan beberapa tokoh perniagaan.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan 222 undi menyokong dan 209 menentang pada hari ke-43 penutupan pemerintah persekutuan Amerika Syarikat, menamatkan kebuntuan politik yang berlarutan.
Keputusan itu dicapai hanya beberapa hari selepas lapan senator Demokrat memecahkan barisan parti mereka untuk menyokong Republikan bagi membolehkan rang undang-undang tersebut dibawa ke hadapan.
Tindakan itu mencetuskan reaksi keras dalam kalangan parti Demokrat sendiri, yang menuduh langkah tersebut melemahkan perjuangan mereka terhadap pentadbiran Trump.
Ia juga menandakan kali pertama Dewan bersidang dan mengundi selepas hampir dua bulan tergendala akibat penutupan pemerintah terpanjang dalam sejarah Amerika.
Sebahagian program seperti bantuan makanan (Snap) dijangka dipulihkan dalam masa beberapa jam, namun kesan lain mungkin mengambil masa lebih lama untuk dipulihkan sepenuhnya.
Dalam ucapannya, Encik Trump menuduh Demokrat melakukan “pemerasan” dan menyalahkan mereka atas kesan terhadap perjalanan udara dan kehilangan gaji pekerja pemerintah persekutuan.
“Ramai yang sangat terjejas. Saya mahu rakyat Amerika tidak melupakan perkara ini. Bila tiba pilihan raya pertengahan penggal, ingatlah apa yang mereka lakukan kepada negara kita,” kata Encik Trump.
Walaupun Encik Trump menuding jari kepada Demokrat, tinjauan menunjukkan majoriti rakyat Amerika menyalahkan Republikan atas krisis tersebut.
Enam ahli Demokrat menyertai Republikan meluluskan rang undang-undang itu, manakala hanya dua Republikan menentangnya, Encik Thomas Massie dari Kentucky dan Encik Greg Steube dari Florida.
Menurut Pejabat Belanjawan Rumah Putih, rang undang-undang tersebut bebas daripada sebarang “syarat partisan yang merugikan” yang sebelum ini menjadi tuntutan utama Demokrat.
Pertikaian utama dalam krisis penutupan itu berkisar pada tuntutan Demokrat untuk melanjutkan subsidi penjagaan kesihatan persekutuan yang bakal tamat hujung tahun 2025 ini.
Republikan menentang keras lanjutan itu, manakala Encik Trump, yang pada awalnya menunjukkan minat untuk perjanjian dwipartisan, kemudian enggan berunding.
Keengganan itu akhirnya mendorong beberapa anggota Demokrat di Senat untuk bertindak, setelah ratusan ribu pekerja pemerintah diberhentikan sementara, jutaan rakyat kehilangan bantuan makanan, dan sektor pengangkutan udara hampir lumpuh.
“Sejarah membuktikan bahawa penutupan pemerintah tidak pernah mengubah hasil, hanya menambah beban rakyat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Peruntukan, Encik Tom Cole dari Oklahoma.
Namun, beberapa anggota Demokrat di Dewan marah dengan keputusan itu. Ahli Kongres Cik Alexandria Ocasio-Cortez mengecam pentadbiran Encik Trump kerana menurutnya telah menunjukkan “kekejaman” terhadap rakyat biasa.
“Kita ada pekerja pemerintah yang tidak menerima gaji, dan penerima SNAP yang kehilangan jaminan makanan. Kita perlu tanya, apa sebenarnya yang dicapai daripada ini?” katanya.
Beliau menegaskan parti Demokrat tidak boleh “memulihkan kekejaman dengan berdiam diri.”
Dalam ucapan balas, Ketua Minoriti Demokrat, Encik Hakeem Jeffries, memberi amaran bahawa rakyat tidak akan melupakan bagaimana Republikan mengendalikan isu kesihatan awam.
“Perjuangan ini hanya akan berakhir dalam dua cara sama ada Republikan bersetuju melanjutkan subsidi kesihatan, atau rakyat akan menyingkirkan mereka dari jawatan dalam pilihan raya akan datang,” katanya di Dewan Perwakilan.
Rang undang-undang kompromi yang diluluskan itu meliputi perbelanjaan bagi menampung operasi pemerintah hingga Januari serta tiga undang-undang kecil untuk sektor pertanian, pembinaan ketenteraan, veteran dan agensi perundangan bagi tahun fiskal 2026.
Ia juga memastikan pekerja pemerintah yang diberhentikan semasa penutupan akan menerima gaji tertunggak, selain membatalkan sebarang pemberhentian tetap.
Namun, rang undang-undang itu turut mengandungi satu peruntukan kontroversi yang membolehkan beberapa senator Republikan, yang terlibat dalam siasatan rusuhan Capitol pada 6 Januari 2021 dan rekod telefon mereka disita sebagai bahan bukti, memfailkan saman terhadap pemerintah bagi menuntut pampasan sekurang-kurangnya AS$500,000 (S$650,212) setiap seorang.
Langkah itu mencetuskan kemarahan bipartisan di Dewan, tetapi sebarang pindaan terhadap rang undang-undang berkenaan akan melanjutkan penutupan pemerintah, maka ia terpaksa diterima buat sementara waktu.
Ahli Kongres Encik Chip Roy dari Texas menyifatkan tindakan memasukkan peruntukan itu sebagai “tidak masuk akal” dan bukti mengapa rakyat hilang kepercayaan terhadap politik Washington.
Speaker Dewan, Encik Mike Johnson, berkata Republikan akan memperkenalkan rang undang-undang baru untuk memansuhkan klausa tersebut seawal minggu hadapan.
Walaupun pemerintah kini dibuka semula, episod 43 hari itu meninggalkan kesan mendalam terhadap keyakinan rakyat dan ekonomi negara. Krisis ini sekali lagi membuktikan bahawa dalam pertarungan politik di Washington, rakyat biasa tetap menjadi mangsa utama, ujar penganalisis. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg