Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tangguh 90 hari lagi tarif ke atas China

Aug 12, 2025 | 1:20 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, melanjutkan penangguhan tarif ke atas China selama 90 hari lagi pada 11 Ogos, kata seorang pegawai Rumah Putih
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, melanjutkan penangguhan tarif ke atas China selama 90 hari lagi pada 11 Ogos, kata seorang pegawai Rumah Putih - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, melanjutkan penangguhan tarif ke atas China selama 90 hari lagi pada 11 Ogos, kata seorang pegawai Rumah Putih.

Ini sekali gus menghentikan tarif tiga angka ke atas barangan China ketika peruncit Amerika bersiap sedia untuk musim cuti akhir tahun yang bakal menjelang.

Encik Trump telah menandatangani perintah eksekutif menangguhkan permulaan tarif yang lebih tinggi sehingga pertengahan November, sejurus selepas memberi pemberita jawapan tidak komited apabila ditanya pada sidang akhbar jika beliau bercadang untuk mengekalkan kadar tarif yang lebih rendah terhadap China.

Awal sebelum ini, Encik Trump pada 10 Ogos mendesak China supaya menambah empat kali ganda pembelian kacang soya Amerika, tetapi masih tidak jelas sama ada Beijing telah bersetuju atau sebaliknya.

Penangguhan tarif sebelum ini ke atas Beijing sepatutnya tamat pada 12 Ogos.

Masa lanjutan sehingga awal November memberi masa penting untuk lonjakan import musim luruh bagi perayaan Krismas.

Import tersebut termasuk barangan elektronik, pakaian dan mainan yang menikmati kadar tarif lebih rendah.

Perintah baru itu menghalang tarif Amerika ke atas barangan China daripada melonjak sehingga 145 peratus, manakala tarif China ke atas barangan Amerika pula pada paras 125 peratus – kadar yang akan mengakibatkan sekatan dagangan maya antara kedua-dua negara gergasi dunia itu.

Ia terkunci – sekurang-kurangnya buat masa ini – tarif 30 peratus ke atas import China dan tarif 10 peratus China ke atas import Amerika.

“Kita akan lihat apakah yang berlaku,” kata Encik Trump dalam sidang akhbar pada 11 Ogos, menonjolkan apa yang disifatkannya sebagai hubungan baik beliau dengan Presiden China, Encik Xi Jinping.

“Ia adalah berita positif. Digabungkan dengan beberapa langkah mengurangkan ketegangan yang telah diambil oleh Amerika dan China dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Ia menunjukkan bahawa kedua-dua pihak cuba melihat sama ada mereka boleh mencapai beberapa jenis perjanjian yang akan meletakkan asas untuk pertemuan kedua-dua pemimpin itu pada musim gugur ini,” kata Cik Wendy Cutler, mantan Pegawai Kanan Perdagangan Amerika yang kini Naib Presiden di Institut Dasar Masyarakat Asia.

Encik Trump memberitahu stesen penyiaran, CNBC, bahawa Amerika dan China semakin hampir mencapai perjanjian dagangan dan beliau akan bertemu dengan Encik Xi sebelum akhir 2025 jika perjanjian dimuktamadkan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg