Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump tangguh serangan ke atas Iran selepas amaran krisis haji
Trump tangguh serangan ke atas Iran selepas amaran krisis haji
Konflik Iran-AS-Israel dijangka memuncak semula selepas musim haji
Trump tangguh serangan ke atas Iran selepas amaran krisis haji
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan menangguhkan rancangan serangan ketenteraan ke atas Iran minggu ini selepas menerima amaran daripada sekutu negara Teluk serta pegawai pentadbirannya sendiri mengenai risiko besar jika perang disambung semasa musim haji.
Menurut dua pegawai kanan Teluk yang dipetik Middle East Eye, serangan terhadap Iran ketika jutaan umat Islam berkumpul untuk menunaikan haji boleh mencetuskan krisis besar di rantau Teluk, termasuk menyebabkan ratusan ribu jemaah terkandas di Arab Saudi dan negara jiran.
Mereka berkata tindakan ketenteraan ketika tempoh suci menjelang Aidiladha juga boleh memburukkan lagi imej Washington dalam dunia Islam.
Seorang pegawai kanan Amerika yang mengetahui perbincangan dalaman pentadbiran Encik Trump turut mengesahkan bahawa amaran tersebut memang dibangkitkan dalam mesyuarat keselamatan dan diplomatik.
Menurut pegawai itu, Encik Trump diberitahu bahawa penyambungan perang ketika musim haji akan menyebabkan “kerosakan reputasi yang serius” terhadap beliau dan Amerika.
“Serangan ketika haji bukan sahaja memberi kesan ketenteraan, malah kesan politik dan kemanusiaan yang besar,” kata sumber itu.
Musim haji tahun ini dijadual bermula pada 24 Mei dan berlangsung selama enam hari.
Ratusan ribu jemaah dari seluruh dunia sudah mula berada di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah tersebut.
Arab Saudi setiap tahun menerima kira-kira sejuta jemaah asing, manakala lapangan terbang dan hab penerbangan utama di Qatar serta Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut memainkan peranan penting dalam pergerakan jemaah dari Asia Selatan dan Asia Timur.
Sumber Teluk berkata sebarang konflik besar ketika musim haji boleh menjejaskan operasi penerbangan, keselamatan serantau dan pengurusan jemaah secara besar-besaran.
Walaupun begitu, ketiga-tiga sumber yang bercakap kepada Middle East Eye percaya konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran hanya ditangguhkan sementara dan berkemungkinan disambung semula selepas musim haji berakhir.
Menurut mereka, Washington sebelum ini pernah menggunakan pendekatan diplomasi sebagai helah untuk mengaburi Iran sebelum melancarkan serangan.
Pada Februari lalu, Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran selepas rundingan di Geneva dilihat menunjukkan perkembangan positif.
Encik Trump sendiri mengakui beliau menangguhkan serangan yang dirancang pada malam 19 Mei selepas campur tangan pemimpin Teluk.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata beliau diminta oleh Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Putera Mahkota Arab Saudi, Encik Mohammed bin Salman, dan Presiden UAE, Encik Mohamed bin Zayed Al Nahyan, supaya menangguhkan serangan terhadap Iran.
“Saya diminta oleh pemimpin besar dan sekutu kita untuk menangguhkan serangan tentera yang dirancang terhadap Republik Islam Iran,” katanya.
Encik Trump berkata para pemimpin Teluk percaya masih ada ruang untuk mencapai perjanjian diplomatik.
Ketika perang tercetus selepas serangan Amerika dan Israel pada 28 Februari lalu, Iran bertindak balas dengan menyerang pangkalan serta kepentingan Amerika di negara Teluk.
Teheran turut memberi amaran bahawa sebarang serangan lanjut terhadap prasarana tenaga dan awam Iran akan dibalas dengan serangan terhadap prasarana negara Teluk dan berpotensi meluaskan konflik ke luar Asia Barat.
Arab Saudi, Qatar dan Oman antara negara yang paling aktif mendesak supaya ketegangan tidak terus meningkat.
Konflik berterusan itu turut memberi kesan kepada ekonomi serantau, terutama selepas Iran melaksanakan sekatan di Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport minyak dan gas asli cecair dunia.
Serangan awal Washington terhadap Iran juga dilihat gagal mencapai objektif utama untuk menjatuhkan pemerintah Iran walaupun Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan terbunuh dalam serangan tersebut.
Di bawah kepimpinan Encik Mojtaba Khamenei, anak kepada Ayatollah Khamenei yang disebut sebagai pengganti beliau, Iran terus bertahan walaupun berdepan pengeboman selama beberapa minggu.
Pemerintah Israel pula dilaporkan terus memberi tekanan kepada Encik Trump supaya meneruskan perang kerana menganggap Iran sebagai musuh strategik terbesar di rantau itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber diplomatik berkata rundingan baharu antara Amerika dengan Iran dijangka berlangsung di Pakistan selepas ibadah utama haji selesai pada penghujung Mei.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa wakil Pakistan mungkin akan ke Iran pada 21 Mei bagi mengumumkan draf akhir perjanjian berkaitan rundingan tersebut, namun butiran lanjut mengenai kandungan perjanjian masih belum didedahkan. – Agensi berita.
