Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum AS tarik diri daripada perjanjian iklim PBB

Turut tarik diri daripada 65 organisasi, perjanjian antarabangsa yang ‘tidak lagi berkhidmat untuk kepentingan AS’
Jan 8, 2026 | 10:43 AM
Donald Trump, america, usa
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menandatangani satu ‘Memorandum Presiden’ yang mengarahkan agensi pemerintah menarik diri daripada 66 organisasi antarabangsa, yang menurut pentadbiran beliau tidak lagi berkhidmat untuk kepentingan Amerika. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan pada 7 Januari pentadbirannya akan menarik diri daripada satu perjanjian antarabangsa teras yang menjadi asas usaha global mengekang perubahan iklim, satu langkah yang dijangka mengasingkan Amerika daripada hampir seluruh masyarakat antarabangsa dalam isu alam sekitar.

Perjanjian tersebut, yang berkuat kuasa selama 34 tahun dan disertai oleh semua negara lain di dunia, ialah Rangka Kerja Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Ia menjadi asas perundangan kepada Perjanjian Paris 2016, satu komitmen sukarela negara-negara dunia untuk mengehadkan peningkatan suhu global ke paras yang lebih selamat.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Rumah Putih menyatakan Encik Trump menandatangani satu ‘Memorandum Presiden’ yang mengarahkan agensi pemerintah menarik diri daripada perjanjian iklim tersebut serta 65 lagi organisasi dan perjanjian antarabangsa yang dikatakan “tidak lagi berkhidmat untuk kepentingan Amerika”.

Kira-kira separuh daripada organisasi yang terlibat merupakan badan di bawah PBB.

“Memorandum itu mengarahkan semua Jabatan dan Agensi Eksekutif untuk menghentikan penyertaan serta pembiayaan terhadap 35 organisasi bukan PBB dan 31 entiti PBB yang beroperasi bertentangan dengan kepentingan nasional, keselamatan, kemakmuran ekonomi atau kedaulatan Amerika,” menurut maklumat yang dikongsi oleh Rumah Putih.

Tidak lama selepas dikeluarkan, Rumah Putih memadam halaman yang mengandungi maklumat mengenai memorandum tersebut.

Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan kerangka kerjasama antarabangsa yang asalnya bersifat pragmatik telah berubah menjadi sistem tadbir urus global yang luas dan semakin terpisah daripada kepentingan negara.

“Rangka kerja yang pada asalnya bersifat praktikal untuk keamanan dan kerjasama kini telah berkembang menjadi struktur tadbir urus global yang sering didominasi ideologi progresif serta semakin tidak selari dengan kepentingan nasional,” katanya.

Pentadbiran Trump turut mengumumkan pengunduran Amerika daripada badan sains iklim tertinggi dunia, Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC), serta beberapa organisasi alam sekitar utama lain termasuk Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa, Perikatan Solar Antarabangsa dan Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

Langkah itu mengukuhkan lagi kedudukan Amerika sebagai negara yang semakin terasing dalam usaha global menangani perubahan iklim.

Keputusan itu bukan sekadar menandakan penarikan diri Washington daripada diplomasi pelbagai hala, malah mencerminkan sikap menjauhkan diri Amerika daripada usaha kolektif dunia dalam menangani krisis iklim.

Langkah tersebut dilihat sebagai isyarat bahawa isu perubahan iklim tidak lagi menjadi keutamaan dalam dasar luar negara itu, meskipun kesannya semakin ketara di peringkat global.

Dalam masa yang sama, keputusan berkenaan turut memberi mesej yang keras kepada berbilion penduduk dunia, termasuk rakyat Amerika sendiri, yang kini berdepan kebakaran hutan lebih kerap dan dahsyat, ribut ekstrem, kemarau berpanjangan serta ancaman terhadap bekalan makanan dan biodiversiti.

Semua ini membawa kos ekonomi yang semakin tinggi dan memberi tekanan berpanjangan kepada masyarakat serta kerajaan di seluruh dunia.

“Ini menghantar isyarat besar kepada dunia tentang sikap acuh tak acuh Amerika terhadap dasar iklim yang amat penting,” kata Profesor Jean Galbraith, pakar undang-undang antarabangsa daripada Sekolah Undang-Undang Carey, Universiti Pennsylvania.

Menurut beliau, Encik Trump sebelum ini memulakan proses pengunduran daripada Perjanjian Paris, yang dijadual menjadi rasmi pada 20 Januari.

Bekas penasihat iklim Rumah Putih di bawah pentadbiran Encik Joe Biden, Cik Gina McCarthy, mengkritik keras keputusan tersebut.

“Ini adalah keputusan yang cetek, memalukan dan tidak bijak,” katanya sambil menegaskan pentadbiran Encik Trump sedang mengetepikan hasil kerjasama global yang dibina selama berdekad-dekad.

“Pentadbiran ini sedang mengorbankan keupayaan negara untuk mempengaruhi pelaburan bernilai trilion dolar, serta dasar dan keputusan penting yang sepatutnya mampu memacu ekonomi dan melindungi rakyat daripada bencana besar yang semakin kerap melanda negara,” katanya.

Pengunduran Amerika daripada kerjasama iklim global berlaku ketika pesaing utamanya di pentas dunia, China, semakin menguasai teknologi tenaga bersih masa depan.

Dalam masa yang sama, sekutu rapat Washington seperti Australia, United Kingdom dan Kesatuan Eropah (EU), terus memperkukuh sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Bekas utusan iklim global Amerika, Encik John Kerry, menyifatkan langkah tersebut sebagai “hadiah kepada China serta satu bentuk pelepasan tanggungjawab kepada pihak pencemar yang mahu mengelak kebertanggungjawapan”.

Dari sudut perundangan, pengunduran daripada perjanjian UNFCCC akan mengambil masa setahun selepas notis rasmi difailkan kepada PBB.

Selepas itu, Amerika tidak lagi akan menyertai rundingan tahunan melibatkan hampir 200 negara yang bertujuan menggalakkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

UNFCCC telah diluluskan sebulat suara oleh Senat Amerika pada 1992.

Namun, kuasa undang-undang presiden untuk menarik diri secara unilateral daripada perjanjian yang telah mendapat kelulusan Senat masih menjadi persoalan, dan setakat ini Mahkamah Agung belum mengeluarkan keputusan muktamad berhubung isu tersebut.

Namun dalam praktiknya, presiden Amerika sebelum ini pernah mengambil langkah serupa, termasuk ketika Encik George W. Bush menarik negara itu keluar daripada Perjanjian Anti-Peluru Berpandu pada 2002.

Sebahagian pakar undang-undang berpendapat pengunduran daripada rangka kerja iklim PBB akan menyukarkan, malah mungkin menghalang Amerika daripada menyertai semula perjanjian tersebut di bawah presiden akan datang tanpa kelulusan baru Senat.

Namun, menurut Profesor Galbraith, undian dua pertiga Senat pada 1992 masih berkuat kuasa dan tidak terbatal walaupun presiden menarik diri daripada perjanjian itu.

Keputusan terbaru itu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih agresif pentadbiran Encik Trump terhadap agenda iklim, termasuk pelonggaran peraturan alam sekitar, penyingkiran data saintifik berkaitan iklim daripada laman web kerajaan, penyekatan pembangunan tenaga angin dan solar, serta penugasan laporan persekutuan yang meremehkan kesan pemanasan global.

Setakat ini, tiada negara lain mengikut langkah Amerika untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris.

Namun, pemerhati memberi amaran bahawa pengunduran Washington daripada konvensyen asas itu berpotensi melemahkan momentum global dalam menangani krisis iklim yang semakin mendesak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg