WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menarik semula tarif ke atas puluhan produk makanan, termasuk barangan keperluan seperti daging lembu, tomato dan pisang.
Penarikan itu susulan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna Amerika terhadap kenaikan harga barang runcit dan kos sara hidup.
Pengecualian yang berkuat kuasa mulai tengah malam 13 November itu menandakan perubahan ketara pendirian Encik Trump, yang sejak sekian lama bertegas cukai import besar-besaran yang dikenakan awal tahun ini (2025) bukan penyebab inflasi.
Isu kos hidup itu juga dilihat menjadi punca Parti Demokrat meraih beberapa kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri dan tempatan di Virginia, New Jersey dan New York City.
Pentadbiran Encik Trump pada 13 November mengumumkan rangka perjanjian dagangan yang akan menghapuskan tarif ke atas makanan tertentu dan import lain dari Argentina, Ecuador, Guatemala dan El Salvador.
Malah, pegawai Amerika menjangkakan perjanjian tambahan akan dilaksanakan sebelum akhir tahun.
Senarai yang diumumkan merangkumi produk yang sering dibeli pengguna Amerika untuk makanan harian, yang kebanyakannya mencatatkan kenaikan harga dari tahun ke tahun.
Berdasarkan data terkini Indeks Harga Pengguna, produk daging kisar, adalah hampir 13 peratus lebih mahal, manakala harga stik meningkat hampir 17 peratus berbanding setahun lalu (2024).
Kenaikan kedua-duanya adalah yang tertinggi dalam lebih tiga tahun, kembali kepada zaman sewaktu inflasi hampir memuncak di bawah pentadbiran pemimpin pendahulunya, Encik Joe Biden.
Harga pisang meningkat sekitar tujuh peratus, manakala tomato naik satu peratus dan secara keseluruhan, kos makanan meningkat 2.7 peratus pada September.
Encik Trump mengubah sistem perdagangan sejagat dengan mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas import daripada setiap negara, ditambah cukai khusus tambahan yang berbeza mengikut negeri.
Beliau kebelakangan ini memberi tumpuan penuh kepada isu kemampuan kos dengan alasan kenaikan harga itu didorong oleh dasar yang dilaksanakan Encik Biden, bukan disebabkan dasar tarifnya.
Pengguna kekal berasa tertekan dengan harga barangan runcit yang tinggi.
Pakar ekonomi pula menyatakan ia turut dipacu oleh tarif import dan boleh meningkat lagi tahun depan (2026) apabila syarikat-syarikat memindahkan sepenuhnya kos import itu kepada pengguna.
Ketua Demokrat sebuah jawatankuasa di Dewan Perwakilan, Encik Richard Neal, berkata: “Pentadbiran beliau akhirnya mengakui secara terbuka apa yang kita semua tahu sejak awal: Perang dagangan Encik Trump meningkatkan kos sara hidup rakyat.” - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg