WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan tidak berpuas hati dengan cadangan terbaharu Iran untuk membuka semula Selat Hormuz dan menamatkan konflik semasa.

Demikian menurut beberapa sumber yang mengikuti perbincangan di Rumah Putih.

Saranan tersebut turut menggesa Amerika menamatkan sekatan laut terhadap Iran, namun tidak menyentuh isu utama berkaitan program nuklear Teheran.

Seorang pegawai Amerika berkata ketidakpuasan itu berpunca daripada ketiadaan perincian mengenai isu nuklear.

“Beliau tidak menyukai cadangan itu,” kata pegawai tersebut, merujuk kepada Encik Trump.

Iran sebelum ini berulang kali menolak tuntutan Washington untuk menggantung program nuklearnya serta menyerahkan simpanan uranium yang diperkaya tinggi.

Encik Trump pula menegaskan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear, menjadikan isu itu kekal sebagai titik utama pertikaian.

Seorang lagi pegawai Amerika berkata menerima cadangan tersebut juga berisiko dilihat tidak memberikan kemenangan politik kepada pentadbiran Trump.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Olivia Wales, berkata rundingan masih berlangsung tetapi Amerika tidak akan berunding melalui media.

“Amerika Syarikat tidak akan berunding melalui media kami telah jelas tentang garis merah kami dan presiden hanya akan membuat perjanjian yang mengutamakan rakyat Amerika serta keselamatan sejagat,” katanya.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan Iran yang dilihat mahu mengekalkan kawalan ke atas laluan strategik itu.

“Jika pembukaan selat bermaksud kapal perlu mendapat kebenaran Iran atau dengan bayaran tertentu, itu bukan pembukaan sebenar,” katanya dalam wawancara bersama Fox News.

“Mereka tidak boleh menentukan siapa yang boleh menggunakan laluan antarabangsa ini atau mengenakan bayaran sesuka hati,” ujar Encik Rubio.

Selat Hormuz, yang biasanya menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia, kekal ditutup secara efektif sejak konflik tercetus pada akhir Februari.

Walaupun gencatan senjata sejak awal April sebahagian besarnya bertahan, penutupan laluan itu telah menyebabkan harga tenaga sejagat melonjak.

Rundingan Amerika dan Iran dengan Pakistan sebagai pengantara sebelum ini gagal mencapai sebarang persetujuan, dengan isu Selat Hormuz menjadi antara halangan utama.

Konflik yang berlarutan turut memberi tekanan politik kepada Encik Trump di dalam negara susulan kenaikan harga bahan api.

Ia turut menjejas hubungan dengan negara Eropah yang berusaha mengelak daripada terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.

Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, menyifatkan keadaan rundingan sebagai mencabar.

Amerika, katanya, dilihat “dipermainkan” oleh kepimpinan Iran yang mengendalikan rundingan dengan berhati-hati.

Di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, memberi amaran bahawa cadangan mengenakan bayaran di Selat Hormuz boleh membawa kesan besar kepada perdagangan sejagat.

“Akses ke laut akan menjadi keistimewaan segelintir pihak. Laluan laut boleh menjadi zon ketenteraan dan perdagangan sejagat akan terjejas,” katanya. – Agensi berita.