Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump timbang perluas larangan perjalanan ke atas 36 negara

Jun 16, 2025 | 2:01 PM
donald trump, larangan 36 negara
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, kini sedang menimbangkan perluas larangan penuh atau sebahagiannya terhadap warga 36 negara. - Foto AFP

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan langkah meluaskan sekatan perjalanan yang berpotensi melarang warga 36 negara daripada memasuki Amerika Syarikat.

Awal bulan ini, beliau yang telah menandatangani pengisytiharan yang melarang kemasukan warga dari 12 negara, berkata langkah itu diperlukan untuk melindungi Amerika daripada “pengganas asing” dan ancaman keselamatan.

Tindakan tegas itu diambilnya tahun ini termasuk pengusiran ke El Salvador ratusan rakyat Venezuela yang disyaki menjadi ahli kumpulan kongsi gelap, serta menafikan pendaftaran pelajar asing di beberapa universiti Amerika dan menghantar pulang sebahagian yang lain.

Dalam kabel diplomatik dalaman yang ditandatangani oleh Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, Jabatan Negara menggariskan sedozen kebimbangan mengenai negara terbabit dan meminta tindakan sewajarnya.

“Jabatan telah mengenal pasti 36 negara yang menimbulkan kebimbangan dan mungkin disyorkan untuk penggantungan kemasukan penuh atau sebahagian jika mereka tidak memenuhi tanda aras yang ditetapkan dalam tempoh 60 hari,” kata kabel yang dihantar pada hujung minggu. Kabel itu pertama kali dilaporkan oleh Washington Post.

Antara kebimbangan yang digariskan Jabatan Negara termasuklah pemerintah negara tidak cekap atau kerjasama oleh beberapa negara untuk menghasilkan dokumen pengenalan diri yang boleh dipercayai dan “keselamatan pasport yang dipersoalkan”.

Beberapa negara, kata kabel itu, tidak bekerjasama dalam memudahkan penyingkiran warga negaranya yang diarahkan keluar daripada Amerika.

Sebab-sebab kebimbangan lain termasuk rakyat negara asing terlibat dalam tindakan keganasan di Amerika, atau aktiviti anti-Yahudi dan anti-Amerika.

Negara yang boleh menghadapi larangan itu ialah: Angola, Antigua dan Barbuda, Benin, Bhutan, Burkina Faso, Cabo Verde, Kemboja, Cameroon, Cote D’Ivoire, Republik Demokratik Congo, Djibouti, Dominica, Habsyah, Mesir, Gabon, The Gambia, Ghana, Kyrgyzstan, Liberia, Malawi, Mauritania, Niger, Nigeria, Saint Kitts dan Nevis, Saint Lucia, Sao Tome dan Principe, Senegal, Sudan Selatan, Syria, Tanzania, Tonga, Tuvalu, Uganda, Vanuatu, Zambia dan Zimbabwe.

Negara yang dikenakan larangan sebelum ini ialah Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg