Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump timbang serang Iran sebelum pilihan raya AS pasa 3 Nov
Trump timbang serang Iran sebelum pilihan raya AS pasa 3 Nov
WASHINGTON: Rumah Putih dilaporkan telah meminta Pentagon menyediakan beberapa pilihan serangan baharu yang boleh dilancarkan terhadap Iran, sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November.
Ini susulan Presiden Donald Trump memberi bayangan bahawa beliau semakin kurang berminat untuk mencapai perjanjian dengan Teheran.
Laporan mengenai kemungkinan serangan itu muncul ketika rundingan antara Washington dengan Teheran masih berlangsung, dengan Encik Trump berkata utusan khasnya, Encik Steve Witkoff, menunjukkan kemajuan dalam usaha mencapai persetujuan dengan Iran.
Namun, Presiden Amerika itu berkata perjanjian dengan Teheran bukan pilihan yang benar-benar diingininya dan sekali lagi menegaskan Iran tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear.
Majalah The Atlantic, yang memetik dua pegawai pentadbiran, melaporkan Rumah Putih meminta Pentagon menyediakan pilihan bagi kemungkinan serangan terhadap Iran sebelum pilihan raya pertengahan penggal.
Bagaimanapun, skala serangan, sasaran yang mungkin dipilih dan sama ada pentadbiran Encik Trump akhirnya akan meneruskan tindakan ketenteraan itu, masih dalam perbincangan.
Ketika ditanya mengenai laporan tersebut, seorang pegawai Pentagon tidak mengesahkan atau menafikannya.
“Tugas Jabatan Pertahanan adalah membangunkan dan mengemukakan pilihan ketenteraan kepada Presiden,” kata pegawai itu kepada agensi berita Anadolu.
Menurut The Atlantic, beberapa penasihat Encik Trump percaya sekiranya serangan baharu hendak dilancarkan, waktu yang lebih sesuai adalah selepas pilihan raya pertengahan penggal dan bukan sebelumnya.
Seorang pegawai Rumah Putih pula berkata Encik Trump “sentiasa mempunyai pelbagai pilihan”, namun tidak menjelaskan bila serangan mungkin dilancarkan.
Secara berasingan, Axios melaporkan Pentagon sudah mengarahkan Markas Pusat Amerika (Centcom) beberapa hari lalu supaya menyelesaikan persiapan bagi kemungkinan menyambung semula operasi tempur besar-besaran terhadap Iran.
Laporan itu, yang memetik pegawai Amerika, berkata arahan tersebut tidak menetapkan tarikh khusus bila serangan akan dilancarkan.
Perkembangan terbaru meningkatkan ketidakpastian mengenai hala tuju hubungan Amerika-Iran ketika Washington pada masa yang sama meneruskan rundingan dengan Tehran.
Ketika berucap dalam satu perhimpunan kempen di San Antonio, Texas, pada 7 Oktober, Encik Trump berkata Encik Witkoff sedang berusaha mencapai persetujuan dengan Iran dan ia menunjukkan kemajuan.
“Beliau sedang mengusahakan perjanjian dengan Iran dan melakukannya dengan sangat baik.
“Saya fikir perjanjian itu sebenarnya bukan sesuatu yang saya mahu lakukan, tetapi mereka sanggup menawarkan apa sahaja kepada kami untuk menghentikannya,” kata Encik Trump.
“Mereka tidak akan mempunyai senjata nuklear,” tambahnya.
Encik Trump menyifatkan Encik Witkoff sebagai “perunding yang hebat” dan berkata utusan khas itu sudah mencapai beberapa kejayaan besar, termasuk dalam usaha mencapai gencatan senjata di Gaza.
Presiden Amerika itu turut memberi bayangan bahawa perang dengan Iran mungkin berakhir tidak lama lagi.
“Perang itu akan berakhir – ia akan berlaku tidak lama lagi. Ia mesti berakhir tidak lama lagi,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Iran sebagai “negara yang gagal”. – Agensi berita.
Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari, mencetuskan serangan balas peluru berpandu dan dron oleh Tehran terhadap sasaran di seluruh rantau itu.
Iran turut menutup secara berkesan Selat Hormuz, laluan strategik bagi penghantaran minyak dan tenaga dunia.
Konflik itu mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan bekalan tenaga global kerana sebahagian besar eksport minyak dan gas dari negara Teluk melalui selat berkenaan.
Washington dan Teheran kemudian menandatangani memorandum persefahaman pada Jun hasil usaha pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi menghentikan pertempuran dan membuka jalan kepada rundingan.
Namun, pelaksanaan perjanjian tersebut sejak itu terbantut berikutan beberapa pertikaian yang masih belum diselesaikan.
Antara isu utama ialah soal keselamatan dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan lalu, Encik Trump berkata beliau menjangkakan persetujuan dengan Iran boleh dicapai selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika.
Bagaimanapun, beliau turut memberi amaran bahawa beliau berdepan “keputusan besar” sama ada meneruskan usaha mencapai persetujuan atau mengambil tindakan ketenteraan lebih keras terhadap Iran.
Laporan bahawa Pentagon kini menyediakan pilihan serangan menunjukkan Washington sedang mempertimbangkan laluan diplomatik dan ketenteraan secara serentak.
Walaupun Encik Trump berkata rundingan yang dikendalikan Encik Witkoff menunjukkan kemajuan, arahan kepada Pentagon dan Centcom menunjukkan Amerika turut memastikan pasukan tenteranya bersedia sekiranya usaha diplomatik gagal.
Buat masa ini, tiada keputusan muktamad diumumkan mengenai serangan baru terhadap Iran dan tiada tarikh ditetapkan bagi sebarang operasi ketenteraan. – Agensi berita.