Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump tinggalkan Beijing tanpa kejayaan, Putin bawa pulang hubungan erat, perjanjian baru
Trump tinggalkan Beijing tanpa kejayaan, Putin bawa pulang hubungan erat, perjanjian baru
Nada hubungan Beijing-Moscow dilihat jauh lebih mesra dan rapat, berbanding semasa lawatan Trump
Trump tinggalkan Beijing tanpa kejayaan, Putin bawa pulang hubungan erat, perjanjian baru
BEIJING: Presiden China, Encik Xi Jinping dan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menegaskan hubungan erat antara kedua-dua negara kekal “tidak tergugat” ketika mereka bertemu di Beijing, hanya beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengadakan lawatan ke China.
Pertemuan itu sekali lagi memperlihatkan bagaimana China dan Russia semakin memperkukuh kerjasama strategik mereka di tengah-tengah ketegangan geopolitik global, termasuk perang di Ukraine dan konflik Iran di Asia Barat.
Encik Putin disambut dengan penuh istiadat di luar Dewan Besar Rakyat di Beijing, hampir sama seperti sambutan yang diberikan kepada Encik Trump minggu lalu, lengkap dengan persembahan ketenteraan dan kanak-kanak yang melaungkan slogan alu-aluan.
Namun, nada hubungan antara Beijing dan Moscow dilihat jauh lebih mesra dan rapat.
Menurut media pemerintah China, Encik Xi berkata kedua-dua negara telah “terus memperdalam kepercayaan politik dan penyelarasan strategik dengan ketahanan yang kekal tidak tergugat”.
“Kita telah memperkukuh hubungan strategik secara berterusan walaupun berdepan pelbagai cabaran antarabangsa,” kata beliau ketika membuka rundingan rasmi bersama Encik Putin.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju melanjutkan perjanjian “kerjasama persahabatan” antara China dan Russia, sekali gus menunjukkan hubungan dua hala itu terus menjadi keutamaan bagi kedua-dua pihak.
Encik Putin pula menggunakan ungkapan klasik China ketika memuji hubungan erat tersebut.
“Hari yang berpisah terasa seperti tiga musim luruh,” kata beliau sambil menambah bahawa hubungan Moscow dan Beijing kini mencapai “tahap tertinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini” walaupun berdepan “faktor luaran yang tidak menguntungkan”.
Pemerhati melihat kenyataan itu sebagai sindiran tidak langsung terhadap tekanan Barat, khususnya Amerika, yang terus mengenakan sekatan terhadap Russia sejak perang Ukraine meletus pada 2022.
Dalam nada yang sama, Encik Xi turut memberi amaran mengenai apa yang disifatkannya sebagai “arus unilateral dan hegemoni” yang semakin berleluasa di dunia. Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pengaruh Amerika yang semakin agresif dalam politik dan ekonomi global.
Berbeza dengan lawatan Encik Trump ke Beijing yang tidak menghasilkan banyak pengumuman konkrit, pertemuan antara Encik Xi dan Encik Putin menyaksikan kedua-dua negara menandatangani pelbagai perjanjian baharu melibatkan perdagangan, tenaga dan media.
Selepas sesi rasmi, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup sambil minum teh yang menurut Kremlin dikhaskan untuk membincangkan “isu paling penting” termasuk perang Ukraine, konflik Iran dan hubungan dengan merika.
Media Russia melaporkan sesi itu berlangsung kira-kira satu setengah jam sebelum Encik Putin berlepas pulang meninggalkan Beijing.
Hubungan China dan Russia semakin rapat sejak Moscow melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 2022.
Sekatan ekonomi Barat menyebabkan Russia semakin bergantung kepada China, terutama dalam sektor tenaga, dengan Beijing kini menjadi pembeli utama minyak Russia.
Namun begitu, ramai penganalisis percaya kedudukan Russia dalam hubungan itu kini semakin lemah, manakala China muncul sebagai rakan yang lebih dominan.
Ekonomi Russia terus tertekan akibat perang berpanjangan, kekurangan tenaga kerja dan sekatan antarabangsa.
Dalam suku pertama tahun ini, ekonomi Russia dilaporkan terus menguncup akibat peningkatan perbelanjaan perang dan tekanan kewangan.
Penganalisis turut percaya lawatan Encik Putin kali ini bertujuan mempercepatkan projek saluran paip gas utama “Kuasa Siberia 2”, yang dijangka menyalurkan gas asli Russia ke China melalui Mongolia.
Bagaimanapun, jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, berkata kedua-dua pihak setakat ini hanya mencapai “pemahaman asas” mengenai projek tersebut. “Kami sudah mencapai persefahaman asas termasuk laluan dan pembinaannya, tetapi masih belum ada garis masa yang jelas,” katanya. Beliau menambah masih terdapat beberapa butiran teknikal yang perlu diselesaikan.
Perang antara AS dan Israel terhadap Iran turut memberi kesan besar terhadap aliran minyak dan gas dari Asia Barat. Situasi itu membuka peluang kepada Russia untuk menawarkan sumber tenaga alternatif kepada China.
“Russia dan China bekerjasama secara aktif dalam sektor tenaga,” kata Encik Putin. “Kami bersedia untuk terus membekalkan bahan api secara konsisten kepada pasaran China yang berkembang pesat.”
Namun begitu, keutamaan Beijing dilihat berbeza. China mahu konflik di Asia Barat ditamatkan segera bagi mengelakkan gangguan ekonomi yang lebih besar.
Encik Xi menegaskan bahawa gencatan senjata menyeluruh perlu dicapai secepat mungkin. “Gencatan senjata menyeluruh adalah sangat mendesak. Penyambungan semula peperangan adalah sesuatu yang tidak wajar, dan rundingan perlu diteruskan,” kata beliau.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Beijing menerima kunjungan ramai pemimpin dunia ketika negara-negara lain cuba memperkukuh hubungan dengan China susulan dasar luar Amerika yang semakin tidak menentu di bawah pentadbiran Encik Trump.
Ramai pemimpin antarabangsa juga menggesa China menggunakan pengaruhnya terhadap Russia dan Iran bagi membantu menamatkan konflik yang sedang berlaku.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, sebelum ini meminta Encik Trump membincangkan usaha menamatkan perang Ukraine semasa lawatannya ke Beijing. Walaupun isu itu dibangkitkan dalam pertemuan Trump-Xi, tiada sebarang kejayaan besar dicapai.
China sejak awal konsisten menggesa rundingan damai bagi menamatkan perang Ukraine, tetapi Beijing tidak pernah mengecam tindakan Russia menghantar tentera ke negara itu. Sebaliknya, China terus menggambarkan dirinya sebagai pihak berkecuali.
Media pemerintah China melaporkan kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu Ukraine, namun tidak mendedahkan perincian lanjut.
Dalam kenyataannya pada 20 Mei, Encik Putin berkata Russia dan China komited mempertahankan “dasar luar yang bebas dan berdaulat”. Kremlin dalam kenyataan bersama pula menyatakan Russia menghargai “pendirian objektif dan tidak berat sebelah” China berhubung konflik Ukraine serta mengalu-alukan usaha Beijing memainkan “peranan konstruktif” dalam mencari penyelesaian. - Agensi berita
