Trump turunkan tarif ke atas India selepas Modi setuju henti beli minyak Russia
Trump turunkan tarif ke atas India selepas Modi setuju henti beli minyak Russia
WASHINGTON, NEW DELHI: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada 2 Februari bahawa beliau telah bersetuju untuk mencapai perjanjian dagangan dengan India yang menyaksikan tarif Amerika ke atas barangan India bakal diturunkan kepada 18 peratus daripada 50 peratus.
Ini selepas India bersetuju mengurangkan halangan perdagangan, menghentikan pembelian minyak Russia dan sebaliknya membeli minyak daripada Amerika dan mungkin Venezuela.
“Atas dasar persahabatan dan rasa hormat kepada Perdana Menteri Modi dan, mengikut permintaannya, kami secara serta-merta bersetuju dengan perjanjian dagangan antara Amerika dengan India.
“Amerika akan mengenakan tarif timbal balik yang dikurangkan daripada 25 peratus kepada 18 peratus,” kata Encik Trump dalam catatan media sosial susulan perbincangan menerusi telefon dengan Encik Narendra Modi.
Seorang pegawai Rumah Putih menyatakan bahawa Amerika akan juga membatalkan cukai hukuman sebanyak 25 peratus ke atas semua import dari India atas pembelian minyak Russia yang telah bertindih di atas kadar tarif “timbal balik” sebanyak 25 peratus.
Encik Modi juga komited untuk membeli lebih daripada AS$500 bilion (S$634.5 bilion) produk tenaga, teknologi, pertanian dan barangan lain daripada Amerika, tambah Encik Trump.
Dalam responsnya menerusi X, Encik Modo berkata: “Gembira dapat bercakap dengan rakan baik saya, Presiden Trump. Saya gembira kerana produk buatan India kini akan mempunyai tarif yang dikurangkan sebanyak 18 peratus.
“Terima kasih kepada Presiden Trump bagi pihak 1.4 bilion penduduk India atas pengumuman yang hebat ini.”
India sangat bergantung pada import minyak, meliputi sekitar 90 peratus daripada keperluannya, dan mengimport minyak Russia yang lebih murah telah membantu menurunkan kos importnya sejak Moscow menyerang Ukraine pada 2022 dan negara-negara Barat mengenakan sekatan ke atas eksport tenaganya.
Baru-baru ini, India telah mula memperlahankan pembeliannya daripada Russia. Pada Januari, ia adalah sekitar 1.2 juta tong sehari, dan diunjurkan berkurang kepada kira-kira satu juta tong pada Februari dan 800,000 tong pada Mac.
Pasaran India telah terjejas teruk sejak Washington mengenakan tarif tersebut, menjadikannya pasaran berprestasi terburuk dalam kalangan negara membangun pada 2025, dengan aliran keluar pelabur asing yang mencatatkan rekod.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney akan melawat India dalam beberapa minggu akan datang.
Lawatan beliau itu susulan komitmen pemimpin kedua-dua negara untuk merundingkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (Cepa). - Reuters

