Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump ugut sambung serangan ke atas Iran jika rundingan gagal
Iran: AS perlu terima cadangan pelan damai atau berdepan ‘kegagalan’
Trump ugut sambung serangan ke atas Iran jika rundingan gagal
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi amaran bahawa Washington boleh menamatkan gencatan senjata dengan Iran dan menyambung semula serangan ketenteraan sekiranya rundingan antara kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.
Amaran itu dibuat ketika ketegangan antara Amerika dengan Iran kembali memuncak selepas Teheran mengemukakan beberapa syarat bagi menamatkan perang yang tercetus sejak Februari lalu.
“Kami sama ada akan mencapai perjanjian atau mereka akan dimusnahkan,” kata Encik Trump kepada wartawan di Washington sebelum berlepas ke Beijing untuk menghadiri sidang puncak bersama Presiden China, Encik Xi Jinping.
“Dalam apa juga keadaan, kami akan menang,” katanya lagi.
Menteri Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, turut mengesahkan bahawa Pentagon mempunyai pelan untuk meningkatkan operasi ketenteraan jika diperlukan.
“Kami mempunyai pelan untuk meningkatkan serangan jika perlu. Kami juga mempunyai pelan untuk mengurangkan operasi atau mengubah kedudukan aset ketenteraan,” katanya dalam satu sesi Kongres.
Encik Trump turut menjelaskan beliau akan mengadakan “perbincangan panjang” dengan rakan sejawatnya di China mengenai Iran walaupun berkata tidak memerlukan bantuan Beijing bagi menamatkan perang di Asia Barat.
Bagaimanapun, beliau enggan memberikan butiran lanjut atas alasan keselamatan.
Menurut media pemerintah Iran, Teheran menuntut pampasan perang daripada Amerika, pengiktirafan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz dan penamatan sekatan ekonomi sebagai syarat utama bagi menamatkan konflik.
Encik Trump bagaimanapun menolak tuntutan itu dan menyifatkan gencatan senjata sedia ada sebagai “kini bergantung pada talian hayat yang sangat rapuh”.
Penganalisis berkata tuntutan Iran berhubung pengiktirafan terhadap Selat Hormuz hampir mustahil diterima Washington, manakala penamatan sekatan hanya boleh dipertimbangkan jika Teheran bersedia membuat konsesi besar terhadap program nuklearnya.
Jurucakap Jawatankuasa Keselamatan Nasional Parlimen Iran, Encik Ebrahim Rezaei, memberi amaran bahawa Iran boleh meningkatkan pengayaan uranium sehingga 90 peratus, iaitu tahap yang dianggap sesuai untuk senjata nuklear, sekiranya negara itu diserang semula.
Iran turut memberi amaran bahawa Amerika perlu menerima pelan damai terbaharunya atau berdepan kegagalan.
“Tiada pilihan selain menerima hak rakyat Iran seperti yang digariskan dalam cadangan 14 perkara. Sebarang pendekatan lain hanya akan membawa kegagalan demi kegagalan,” kata ketua perunding Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menerusi hantaran di platform X.
Ketegangan konflik turut memberi kesan besar kepada ekonomi global, terutama selepas Iran menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan utama eksport minyak dunia.
Encik Trump bagaimanapun menepis kebimbangan mengenai kenaikan harga makanan dan bahan api di Amerika akibat penutupan laluan strategik itu.
“Sebaik sahaja perang ini tamat, yang saya percaya tidak akan mengambil masa lama, harga minyak akan turun semula,” katanya.
Menurut Jabatan Buruh Amerika, kadar inflasi negara itu meningkat kepada 3.8 peratus pada April lalu, didorong kenaikan harga tenaga.
Dalam sesi Kongres yang sama, pegawai kanan Pentagon, Jules W. Hurst III, berkata perang yang bermula selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu kini telah menelan kos AS$29 bilion (S$36.9 bilion). Beliau berkata kos itu meningkat akibat pembaikan aset ketenteraan dan operasi ketenteraan berterusan di Asia Barat.
Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika Syarikat, Jeneral Dan Caine, menegaskan tentera negara itu masih mempunyai bekalan senjata yang mencukupi untuk meneruskan operasi. “Kami mempunyai bekalan peluru yang mencukupi untuk melaksanakan tugasan semasa,” katanya. – Agensi berita.
