WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan sebahagian besar bantuan ketenteraan negaranya kepada Israel akan dihentikan menjelang akhir 2026, susulan persetujuan yang dicapai dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, beberapa bulan lalu.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat pada 3 November, ketika rakyat Amerika mula mengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal yang bakal menentukan penguasaan Kongres.

Encik Trump berkata langkah tersebut bertujuan menamatkan kritikan Parti Demokrat terhadap bantuan ketenteraan Washington kepada Israel, yang semakin menjadi isu dalam kempen pilihan raya.

Dalam wawancara bersama pengacara Fox News, Brian Kilmeade, Encik Trump menjelaskan bahawa Israel tidak lagi memerlukan bantuan kewangan besar daripada Amerika kerana mempunyai ekonomi yang kukuh.

“Kami memberikan mereka AS$4 bilion ($5.1 bilion). Kami masih memberikannya. Tetapi bantuan itu akan dihentikan pada akhir tahun,” katanya.

Sebagai gantinya, Israel akan membeli senjata daripada Amerika menerusi perjanjian baharu, sekali gus mengubah hubungan pertahanan kedua-dua negara yang selama beberapa dekad bergantung pada bantuan ketenteraan Washington.

Keputusan itu juga dibuat ketika Kongres sedang mempertimbangkan cadangan menghentikan bantuan secara berperingkat dan menggantikannya dengan kerjasama pertahanan serta teknologi yang lebih menyeluruh.

Kerjasama tersebut dijangka melibatkan pembangunan teknologi ketenteraan, projek pertahanan bersama dan penyertaan kontraktor senjata Amerika.

Langkah itu berpotensi memberi manfaat ekonomi kepada Israel menerusi projek bersama Jabatan Pertahanan Amerika, walaupun bantuan kewangan langsung dihentikan.

Bagaimanapun, pengumuman Encik Trump menimbulkan persoalan kerana perjanjian bantuan ketenteraan sedia ada antara Amerika dengan Israel hanya akan tamat pada 2028.

Kenyataan beliau membayangkan perjanjian tersebut mungkin ditamatkan dua tahun lebih awal dengan persetujuan pemerintah Israel.

Pejabat Encik Netanyahu belum memberikan sebarang ulasan mengenai pengumuman itu.

Encik Netanyahu sebelum ini pernah menyatakan hasrat mengurangkan kebergantungan Israel terhadap bantuan Amerika, tetapi tidak menetapkan jadual pelaksanaannya.

Pengumuman Encik Trump juga dibuat ketika sokongan terhadap Israel dalam kalangan masyarakat Amerika semakin diperdebatkan susulan perang berpanjangan di Gaza.

Namun, beliau tidak menyebut secara langsung perang Gaza atau perubahan pandangan rakyat Amerika terhadap Israel ketika menjelaskan keputusannya.

Sebaliknya, Encik Trump menyifatkan bantuan tersebut sebagai isu politik yang sering digunakan golongan berhaluan kiri Parti Demokrat untuk menyerang pentadbirannya.

Beliau turut mengkritik calon Demokrat bagi kerusi Senat Michigan, Dr Abdul El-Sayed, yang lantang membantah dasar Israel.

“Mereka tidak memerlukannya,” kata Encik Trump, sambil mempersoalkan mengapa Amerika perlu terus menghadapi kritikan berhubung bantuan tersebut.

Beliau bagaimanapun menegaskan Israel kekal sebagai sekutu utama Washington dan menyifatkannya sebagai sebuah negara yang makmur.

Bagi Encik Netanyahu, perubahan aturan bantuan itu juga boleh mengurangkan tekanan politik daripada anggota Kongres yang menggunakan kelulusan bantuan sebagai cara mendesak Israel mengubah dasarnya.

Walaupun pembelian senjata menerusi perjanjian perdagangan dan teknologi mungkin mengurangkan pertikaian politik, Kongres masih mempunyai kuasa mengawasi urusan pertahanan kedua-dua negara.

Di Israel, pengumuman itu mencetuskan kritikan pembangkang ketika Encik Netanyahu masih berusaha membentuk kerajaan selepas pilihan raya negara itu minggu lalu gagal menghasilkan keputusan yang jelas.

Pesaing utamanya, Encik Gadi Eisenkot, yang mengetuai Parti Yashar, mengecam cara perubahan besar hubungan pertahanan Amerika-Israel diumumkan tanpa penjelasan awal kepada rakyat dan institusi keselamatan Israel.

Beliau berkata tindakan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kepimpinan Encik Netanyahu dan keupayaannya mengurus hubungan strategik dengan Washington.

“Hakikat bahawa institusi keselamatan dan rakyat Israel mengetahui perubahan dalam hubungan strategik ini menerusi media menunjukkan betapa tindakan Benjamin Netanyahu benar-benar mendatangkan bahaya,” katanya.

“Kita tidak lagi boleh bergantung kepadanya dan mesti menggantikannya.” – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti