Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum komitmen Etihad AS$14.5b dengan Boeing, GE

May 16, 2025 | 2:59 PM
Trump, lawatan ke Timur Tengah, beli pesawat
Syarikat Penerbangan Etihad mempunyai sekitar 100 pesawat. - Foto REUTERS

DUBAI: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 16 Mei mengumumkan perjanjian berjumlah lebih AS$200 bilion ($259.4 bilion) antara negaranya dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk komitmen AS$14.5 bilion antara Boeing, GE Aerospace dan Etihad Airways.

Rumah Putih berkata Boeing dan GE telah menerima komitmen daripada Etihad Airways untuk melabur AS$14.5 bilion bagi membeli 28 pesawat Boeing 787 dan 777X buatan Amerika yang dikuasakan oleh enjin GE.

Etihad tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenainya.

GE dan Boeing juga enggan memberi komen lanjut.

“Dengan kemasukan pesawat 777X generasi akan datang dalam pelan operasinya, pelaburan itu meningkatkan perkongsian penerbangan komersial yang telah lama terjalin antara UAE dengan Amerika.

“Ini sekali gus akan menyemarakkan sektor pengilangan Amerika, memacu eksport,” kata Rumah Putih.

Etihad mempunyai armada sekitar 100 pesawat.

Ketua Pegawai Eksekutif Etihad, Encik Antonoaldo Neves, berkata pada April bahawa Etihad merancang menambah 20 hingga 22 pesawat baru pada 2025 bagi mengembangkan operasinya kepada lebih 170 pesawat menjelang 2030.

Etihad, yang dimiliki oleh ADQ, dana kekayaan AS$225 bilion Abu Dhabi, telah menjalani penstrukturan semula dan perubahan pengurusan selama beberapa tahun, tetapi telah berkembang di bawah pimpinan Encik Neves.

Beliau berkata 10 daripada pesawat baru yang dirancang itu ialah Airbus A321LR, yang dilancarkan oleh syarikat penerbangan itu pada 12 Mei dan akan mula beroperasi pada Ogos.

Bakinya termasuk enam pesawat Airbus A350 dan empat Boeing 787.

Pada 14 Mei, Boeing mencapai perjanjian terbesarnya untuk pesawat berbadan lebar apabila syarikat Qatar Airways membuat pesanan ketika lawatan Encik Trump ke negara Teluk Arab itu untuk 160 pesawat jet serta pilihan untuk membeli 50 lagi bernilai $96 bilion, kata Rumah Putih.

Dalam lawatan selama empat hari merangkumi Arab Saudi, Qatar dan UAE, Encik Trump secara terbuka menyatakan matlamat utama beliau iaitu untuk memeterai perjanjian perdagangan dan pelaburan berjumlah lebih AS$1 trilion ($1.3 trilion).

Daripada penjualan senjata dan pesawat komersial hinggalah teknologi tenaga nuklear dan kecerdasan buatan, pendekatan itu mencerminkan keutamaan yang jelas dalam kerangka Make America Great Again (Maga) versi sejagat Encik Trump.

Di sebalik kerancakan perjanjian bernilai tinggi itu, isu Palestin dan krisis kemanusiaan di Gaza hampir tidak disebut secara tuntas menunjukkan perubahan nilai dan keutamaan Washington dalam menghadapi Timur Tengah. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg