WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat telah mencapai perjanjian dagangan “besar-besaran” dengan Jepun yang akan dikenakan tarif 15 peratus ke atas eksportnya.
Kedua-dua negara telah bergelut dalam rundingan selama berbulan-bulan sejak Encik Trump melancarkan serangan dagangan globalnya, dengan tariff menyasarkan keluli dan kereta buatan Jepun - eksport penting negara matahari terbit itu.
Encik Trump sebelum ini mengancam Jepun, rakan dagang utama Amerika, dengan tarif 25 peratus bermula 1 Ogos jika perjanjian tidak dicapai.
“Kami baru sahaja menyelesaikan perjanjian besar-besaran dengan Jepun, mungkin perjanjian terbesar yang pernah dicapai,” kata Encik Trump dalam platformnya, Truth Social, pada 22 Julai.
Beliau berkata di bawah perjanjian itu, “Jepun akan melabur, atas arahan saya, AS$550 bilion (S$703 bilion) ke Amerika, yang akan meraih 90 peratus daripada keuntungan.”
Beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai pelan pelaburan luar biasa itu, tetapi mendakwa perjanjian itu “akan mewujudkan ratusan ribu pekerjaan.”
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba berkata bahawa beliau perlu meneliti perjanjian itu sebelum mengulas.
“Mengenai apa yang perlu dibuat mengenai hasil rundingan, saya tidak dapat membincangkannya sehingga selepas kami meneliti butiran rundingan dan perjanjian itu,” kata Encik Ishiba kepada pemberita di Tokyo selepas pengumuman Encik Trump di Washington.
Jepun telah bersetuju untuk “membuka negara mereka untuk berdagang termasuk kereta dan lori, beras dan produk pertanian tertentu dan lain-lain,” kata Encik Trump.
Import beras adalah isu sensitif di Jepun, dan pemerintah Encik Ishiba sebelum ini menolak sebarang konsesi mengenai topik itu.
Indeks Nikkei Jepun melantun lebih satu peratus berikutan berita perjanjian itu, dengan saham kereta Jepun meningkat enam peratus.
Perjanjian itu dibuat selepas Encik Ishiba menghadapi pilihan raya hujung minggu yang menyebabkan gabungannya tanpa majoriti di Parlimen.
Encik Trump telah berada di bawah tekanan untuk menyelesaikan pakatan perdagangan selepas menjanjikan tawaran yang bergelombang menjelang pelaksanaan tarikh akhir tarifnya pada 1 Ogos.
Pada awal 22 Julai, beliau mengumumkan perjanjian telah dicapai dengan Filipina yang akan menyaksikan negara itu berdepan 19 peratus tarif ke atas eksportnya.
Rumah Putih juga membentangkan butiran perjanjian dengan Indonesia, yang akan menyaksikan ia mengurangkan sekatan eksport mineral kritikal dan juga dikenakan tarif 19 peratus.
Perjanjian yang sama telah dicapai dengan United Kingdom dan Vietnam, sementara rundingan sedang berjalan dengan China, Canada dan Mexico. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg