MANILA: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan bahawa Amerika telah mencapai perjanjian dengan Filipina yang menetapkan tarif sebanyak 19 peratus terhadap eksport negara tersebut, menjelang tarikh pelaksanaan 1 Ogos.
Encik Trump pada asalnya mengenakan kadar 17 peratus untuk Filipina pada April, yang kemudian ditangguhkan untuk memberi ruang bagi rundingan. Beliau juga mengancam untuk menaikkan kadar itu kepada 20 peratus awal Julai.
Secara berasingan, Encik Trump turut mengumumkan perjanjian perdagangan antara Amerika dan Jepun, yang melibatkan tarif sebanyak 15 peratus terhadap barangan Jepun.
Sebelum ini, Encik Trump mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap Jepun mulai 1 Ogos jika tiada perjanjian dicapai.
Menurut Encik Trump, berdasarkan perjanjian tersebut, “Jepun akan melabur, atas arahan saya, sebanyak $550 bilion dolar ke Amerika Syarikat yang akan menerima 90 peratus daripada keuntungan.”
Encik Trump mengumumkan kedua-dua perjanjian itu melalui media sosial pada 22 Julai.
“Filipina akan membuka pasaran kepada Amerika tanpa tarif, dengan tarif 19 peratus dikenakan. Kami juga akan bekerjasama secara ketenteraan,” kata Encik Trump pada Selasa.
Presiden itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai perjanjian perdagangan tersebut.
Encik Trump mengenakan tarif yang lebih tinggi terhadap banyak negara perdagangan pada April, tetapi segera menangguhkan tarif tersebut selama 90 hari akibat tindak balas pasaran, untuk menyelesaikan perjanjian.
Namun, dalam tempoh itu, hanya beberapa perjanjian yang berjaya diselesaikan, dan Encik Trump terus mengenakan tarif ke atas negara-negara dan blok ekonomi menjelang tarikh akhir 1 Ogos.
Walaupun Encik Trump dan penasihatnya awalnya mencadangkan rundingan serentak, beliau lebih suka menetapkan tarif bagi ekonomi lain.
Baru-baru ini, Encik Trump menghantar banyak surat menetapkan tarif dan mengenakan levi khusus untuk sektor-sektor seperti tembaga, semikonduktor, dan farmaseutikal.
Walaupun rundingan diteruskan dengan ekonomi besar seperti Kesatuan Eropah (EU) dan India, Encik Trump menyatakan bahawa sekitar 150 negara kecil akan dikenakan kadar tetap antara 10 hingga 15 peratus.
Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, adalah pemimpin asing terkini yang melawat Encik Trump untuk mendapatkan tarif lebih rendah dan menekankan hubungan lama negaranya dengan Amerika bagi mendapatkan syarat perdagangan yang lebih baik.
Namun, kegagalan untuk mendapatkan potongan tarif lebih besar menunjukkan bagaimana agenda tarif Encik Trump telah mendedahkan sekutunya kepada usaha beliau untuk mengubah aliran perdagangan global walaupun beliau berusaha mencapai gencatan perdagangan dengan China.
Sebelum pertemuan Encik Trump dengan Encik Marcos itu, pegawai perdagangan Filipina telah terbang ke Washington untuk mengadakan rundingan dengan rakan sejawat mereka mengenai perjanjian tersebut. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg