WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair sebagai tokoh pertama menyertai “Lembaga Keamanan” , badan antarabangsa yang akan mengawasi pentadbiran sementara Gaza sebaik sahaja perang hampir dua tahun itu dihentikan.
Encik Trump menyifatkan langkah ini sebagai sebahagian daripada pelan damai yang disusun Washington bagi menamatkan konflik Gaza-Israel dan membuka lembaran baru keamanan di rantau itu. “Kami mahu memastikan proses peralihan Gaza berjalan selamat, teratur dan memihak kepada rakyat Palestin,” kata Encik Trump ketika sidang media di Rumah Putih pada 29 September.
Menurut beliau, lebih ramai pemimpin antarabangsa akan diumumkan menyertai Lembaga Keamanan dalam masa terdekat. “Ini bukan hanya rancangan Amerika, ia usaha global untuk membawa keamanan yang sebenar,” tambahnya.
Encik Blair, yang pernah menjadi Perdana Menteri Britain dari 1997 hingga 2007 dan mempunyai pengalaman panjang dalam isu Asia Barat, menyambut baik pelantikan itu. Dalam kenyataannya, beliau menyifatkan pelan tersebut sebagai langkah berani.
Selepas meninggalkan jawatan, beliau pernah dilantik sebagai Utusan Khas Asia Barat bagi Kuartet kuasa antarabangsa (Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Russia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dengan fokus kepada pembangunan ekonomi Palestin dan syarat ke arah penyelesaian dua negara.
“Presiden Trump telah meletakkan rancangan yang berani dan bijak. Jika dipersetujui, ia boleh menamatkan perang, membawa kelegaan segera kepada Gaza, dan memberikan harapan masa depan yang lebih cerah kepada rakyatnya, sambil memastikan keselamatan mutlak Israel dan pembebasan semua tebusan,” kata Encik Blair.
Beliau turut memuji kesediaan Encik Trump untuk mengetuai Lembaga Keamanan sebagai isyarat serius bahawa masa depan Gaza boleh berubah. “Ini peluang terbaik untuk menamatkan dua tahun peperangan, penderitaan dan kesengsaraan,” ujarnya.
Pengumuman pelantikan Encik Blair diumumkan bersama pembentangan pelan damai 20 perkara oleh Trump. Dokumen itu merangkumi beberapa langkah utama seperti gencatan senjata serta-merta dengan perang akan dihentikan sebaik kedua-dua pihak menerima pelan ini. Tentera Israel akan berundur ke garis yang dipersetujui dan operasi ketenteraan dihentikan.
Dalam tempoh 72 jam, semua 20 tebusan Israel yang masih hidup serta puluhan mayat rakyat Israel akan dipulangkan.
Sebagai balasan, Israel akan membebaskan 250 tahanan seumur hidup dan 1,700 warga Gaza yang ditahan selepas 7 Oktober lalu.
Bantuan kemanusiaan penuh pula akan dihantar serta-merta ke Gaza, diiringi pasukan penstabilan multinasional yang akan membantu aspek keselamatan dan melatih pasukan polis tempatan.
Gaza kemudiannya akan ditadbir sementara oleh sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin tanpa pengaruh politik, dengan pemantauan Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Trump.
Penglibatan Encik Blair menimbulkan pelbagai reaksi kerana sejarahnya yang menyokong Perang Iraq dan hubungannya dengan Israel pernah mencetuskan ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat Palestin. Namun Encik Blair mempertahankan pendekatannya yang pragmatik. “Kita mesti berhubung dengan semua pihak yang berpengaruh jika mahu keamanan tercapai,” katanya dalam wawancara pada 2024.
Encik Trump pula mengakui cadangan kali ini berbeza daripada idea awal pentadbirannya. Februari lalu, beliau dikritik selepas menyebut rancangan membangunkan Gaza sebagai “riviera Asia Barat” yang dikhuatiri melanggar undang-undang antarabangsa. “Kami kini bergerak dengan pendekatan yang lebih realistik dan berpaksikan keselamatan serta hak rakyat Palestin,” jelasnya.
Encik Blair menyimpulkannya dengan penuh keyakinan: “Jika dilaksanakan dengan jujur, ini adalah peluang terbaik dalam dua dekad untuk membawa keamanan sebenar kepada rakyat Palestin dan Israel.”
Seorang pegawai kanan Palestin memberitahu media antarabangsa bahawa Hamas terbuka meneliti cadangan damai selagi kepentingan Palestin dilindungi dan penarikan penuh tentera Israel dapat dipastikan. Namun setakat ini kumpulan itu belum memberi jawapan rasmi. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg