Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Xi tidak akan serang Taiwan selagi beliau presiden AS

Aug 16, 2025 | 3:50 PM
Trump, Xi Jinping, isu Taiwan
Encik Donald Trump menyatakan Presiden China Encik Xi Jinping memberitahunya China tidak akan menyerang Taiwan selagi beliau memegang jawatan presiden Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden China, Encik Xi Jinping, memberitahu Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bahawa China tidak akan menyerang Taiwan selagi Encik Trump menjadi presiden, kata Encik Trump.

Beliau membuat komen itu dalam temu bual dengan Fox News, sebelum perbincangan dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, mengenai serangan Moscow ke atas Ukraine.

“Saya mahu memberitahu anda mengenai keadaan yang hampir sama dengan Presiden Xi dari China dan Taiwan, tetapi saya tidak percaya ada apa-apa akan berlaku selagi saya berada di sini. Kita akan lihat,” kata Encik Trump.

“Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak akan melakukannya selagi saya presiden Amerika. Presiden Xi memberitahu saya itu, dan saya kata saya menghargainya. Beliau juga kata saya sangat sabar, dan China juga sangat sabar,’” tambahnya.

Kedutaan China di Washington pada 15 Ogos menyifatkan topik Taiwan sebagai “isu paling penting dan sensitif” dalam hubungan China dengan Amerika.

“Pemerintah Amerika harus mematuhi prinsip satu China dan tiga kenyataan bersama Amerika-China, menangani isu berkaitan Taiwan secara berhemah, dan bersungguh-sungguh menjaga hubungan China-Amerika serta keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan,” kata jurucakap Kedutaan Chnia, Encik Liu Pengyu, dalam satu kenyataan.

Encik Trump dan Encik Xi telah mengadakan panggilan telefon pertama mereka dalam penggal kedua Encik Trump pada Jun.

Encik Trump juga berkata pada April bahawa Encik Xi telah menghubunginya tetapi tidak menyatakan bila panggilan telefon itu dibuat.

China memandang Taiwan sebagai wilayahnya sendiri dan telah berikrar untuk “menyatukan semula” pulau yang demokratik dan ditadbir secara berasingan itu secara paksa jika perlu.

Taiwan membantah keras tuntutan kedaulatan China ke atas pulau itu.

Walaupun Washington adalah pembekal senjata utama Taiwan dan penyokong kuatnya, Amerika – seperti kebanyakan negara lain – tidak mempunyai hubungan diplomatik secara rasmi dengan pulau itu.

Kenyataan terbaru Encik Trump itu sangat berbeza dengan pendirian pendahulunya, Encik Joe Biden, yang berulang kali membayangkan bahawa Washington akan membantu Taipei sekiranya ia diserang China. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg