Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tuduhan ke atas Muhyiddin tidak bersifat diskriminasi: Pendakwa

DPP hujah permohonan mantan PM untuk batalkan tuduhan rasuah ke atasnya tidak berperlembagaan
Jul 12, 2023 | 1:04 PM
DITUDUH RASUAH: Bekas perdana menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah), yang kini pengerusi pembangkang Perikatan Nasional (PN), keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac selepas dikenakan tuduhan rasuah, menyalah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana pemulihan ekonomi semasa pandemik Covid-19.
DITUDUH RASUAH: Bekas perdana menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah), yang kini pengerusi pembangkang Perikatan Nasional (PN), keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac selepas dikenakan tuduhan rasuah, menyalah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana pemulihan ekonomi semasa pandemik Covid-19. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Empat tuduhan ke atas bekas perdana menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang didakwa menyalah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta ($70.5 juta) buat partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak bersifat diskriminasi, Mahkamah Tinggi Malaysia diberitahu pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berhujah permohonan Tan Sri Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan-tuduhan ke atasnya oleh itu tidak berperlembagaan.

Beliau berkata keempat-empat tuduhan itu memenuhi syarat di bawah Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dengan menyatakan bentuk tuduhan, butiran masa, tempat dan orang (tertuduh) dan caranya (bagaimana kesalahan itu dilakukan).

Datuk Wan Shaharuddin berkata hak bagi Tan Sri Muhyiddin di bawah Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan tidak dilanggar kerana perbicaraan bagi kes ini belum lagi dimulakan.

“Semua dakwaan oleh pemohon (Tan Sri Muhyiddin) masih terlalu awal dan tindakan dalam memohon untuk membatalkan tuduhan-tuduhan itu boleh dihukum sebagai tidak berperlembagaan.

“Setakat ini, hak pemohon di bawah Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan dijamin kerana semua prosedur memenuhi syarat undang-undang sedia ada, terutama CPC, yang dipatuhi oleh pendakwa sebagaia responden,” kata beliau.

Sementara itu, DPP Ahmad Akram Gharib, yang turut tampil bagi pihak pendakwa dalam kes itu, berkata permohonan itu adalah tindakan menyalah guna proses mahkamah dan berdasarkan “salah tanggapan terhadap undang-undang.”

“Pada peringkat ini, masih terlalu awal untuk mengatakan tuduhan-tuduhan ke atasnya itu salah kerana tuduhan tersebut lengkap dari segi Muhyiddin sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu.

“Rasuah yang didakwa diterimanya adalah daripada tiga syarikat. Kami tidak faham apa lagi yang diinginkan oleh pemohon,” katanya, sambil menggesa mahkamah supaya menolak permohonan tersebut.

Peguam bela Tan Sri Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berhujah semua empat tuduhan menyalah guna kuasa itu adalah buruk dari segi undang-undang dan cacat kerana responden gagal memberikan butir-butir bagaimana anak guamnya telah melakukan kesalahan seperti yang didakwa.

“Kami dengan penuh hormat berharap tuduhan-tuduhan yang disebutkan di bawah Seksyen 23(1) Akta MACC dibatalkan kerana ia tidak mendedahkan kesalahan yang diketahui di bawah undang-undang dan oleh itu ia adalah suatu penyalahgunaan proses,” kata Datuk Hisyam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Muhammad Jamil Hussin, menetapkan 15 Ogos untuk membuat keputusan mengenai perrmohonan Tan Sri Muhyiddin.

Tan Sri Muhyiddin, 76 tahun, dituduh menggunakan kuasanya untuk mendapatkan rasuah buat partinya, Bersatu, berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, dan juga daripada seorang bernama Datuk Azman Yusoff.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain empat tuduhan itu, Tan Sri Muhyiddin menghadapi dua tuduhan menerima bayaran daripada aktiviti tidak sah berjumlah RM195 juta daripada syarikat Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di CIMB Bank.

Anggota Parlimen Pagoh itu, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), juga didakwa di Mahkamah Rendah Shah Alam pada 13 Mac 2023 menerima bayaran daripada kegiatan tidak sah berjumlah RM5 juta dan kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Rendah untuk dibicarakan bersama kes lain. – The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg